Berita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

VIDEO | Budak mangsa al-Assad

Serangan dan pengeboman di wilayah Idlib di luar perikemanusiaan

ANKARA, 12 Syawal 1440H, Ahad – Rejim Bashar al-Assad bertindak tanpa batasan apabila terus menyerang dan mengebom beberapa bandar di wilayah Idlib, Syira, menyebabkan tujuh orang awam termasuk, tiga kanak-kanak, terbunuh, semalam.

Pasukan penyelamat White Helmet berkata, dalam serangan peluru berpandu rejim Syria yang disokong Russia di barat laut wilayah Idlib itu, 15 lagi orang awam cedera.

Tiga orang awam terbunuh dalam serangan udara di bandar Maaret al-Numan, manakala empat beranak iaitu tiga kanak-kanak dan bapa mereka terbunuh di pusat bandar al-Bara.

Menurut pemantau hak asasi manusia berpangkalan di Britain, pertempuran antara kumpulan bersenjata dan askar rejim menyebabkan 34 terbunuh.

Dua puluh enam askar dan kumpulan prorejim serta lapan pejuang terbunuh dalam pertempuran itu, kata kumpulan pemantau berkenaan.

September tahun lalu, Turki dan Russia menandatangani perjanjian menjadikan Idlib, yang dihuni kira-kira tiga juta penduduk, sebagai zon bebas tentera bagi memisahkan kumpulan bersenjata dan askar rejim Syria.

Zon bebas tentera diwujudkan pada jarak 15 kilometer hingga 20 kilometer di sepanjang garis sempadan kawasan yang dikuasai kumpulan penentang dan askar rejim kerajaan.

Bagaimanapun, perjanjian itu tidak dilaksanakan sepenuhnya menjadikan Idlib – wilayah terakhir yang dikuasai kumpulan penentang rejim al-Assad – sebagai sasaran pengeboman besar-besaran tentera Syria dibantu Russia sejak April lalu.

KLIP VIDEO DI BAWAH MEMERLUKAN PENILAIAN PEMBACA


Jumaat lalu, Ankara menyatakan bantahan dan menolak alasan Russia bahawa Moscow tidak berupaya menghentikan pengeboman oleh rejim Syria ke atas Idlib, susulan serangan ke atas menara pemerhati tentera Turki, Khamis lalu.

Kementerian Pertahanan Turki dalam satu kenyataan berkata, tiga askarnya cedera apabila diserang tentera rejim Damsyik menggunakan 35 peluru mortar.

Menerusi perjanjian dengan Russia, Turki menempatkan beberapa pasukannya di sekitar barat laut wilayah Idlib, dan mendirikan menara pemerhati bagi menghalang pertempuran antara askar rejim al-Assad dan kumpulan pejuang.

“Siapa yang menjadi penjamin kepada rejim Syria? Russia dan Iran. Oleh itu, kami tidak dapat menerima alasan Russia bahawa mereka tidak berupaya menghentikan serangan rejim Damsyik,” kata Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu kepada agensi berita Anadolu.

Kelmarin, rejim Syria dibantu Russia mengebom selatan Idlib dan wilayah Hama, menyebabkan 28 penduduk terbunuh.

Sekurang-kurangnya 300,000 penduduk melarikan diri dari wilayah itu susulan keganasan yang meningkat, sementara 300 orang awam dilaporkan terbunuh sejak pertempuran tercetus.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, lebih 370,000 orang terbunuh, manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal dan melarikan diri ke negara lain.

Kanak-kanak yang berada di dalam bangunan, termasuk rumah mereka, menjadi sasaran mudah bom yang digugurkan pesawat rejim al-Assad dan sekutunya Russia.

KASIHANILAH MEREKA. Antara kanak-kanak yang menjadi mangsa pengeboman rejim Bashar al-Assad dan sekutunya, Russia, di Idlib, Syria.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran ribuan kanak-kanak di wilayah Idlib berdepan risiko kecederaan, terbunuh, atau pemindahan susulan serangan tentera rejim Damsyik.

“Sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya 134 kanak-kanak terbunuh, manakala 125,000 lagi hilang tempat tinggal akibat serangan ganas rejim Syria di wilayah Idlib.

“Hampir 30 hospital dan pusat perubatan turut menjadi sasaran serangan, menyebabkan sesetengah sekutu UNICEF menangguhkan operasi memberi bantuan

“Kanak-kanak tidak bertanggungjawab terhadap peperangan ini, namun merekalah yang menderita akibat pembunuhan dan kesan serta trauma yang dihadapi lebih teruk berbanding orang lain,” kata UNICEF.

Agensi PBB itu berkata, keganasan meningkat sejak beberapa hari lalu, terutama di perkampungan utara wilayah Hama dan selatan Idlib. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close