Berita UtamaUtama

Urusan agama Islam hak negeri

Kerajaan Persekutuan tak boleh campur, perlu perkenan raja dan sultan

BANGI, 12 Syawal 1440H, Ahad – Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam yang terletak di bawah bidang kuasa negeri dan Sultan sebagai ketua agama, melainkan mendapat perkenan daripada Raja-Raja Melayu.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, raja-raja mempunyai kuasa besar dalam hal ehwal Islam, bahkan ketika penjajahan lagi kedudukan agama Islam terutamanya membabitkan undang-undang keluarga Islam tidak disentuh.

Beliau berkata, perkara itu bukan hanya tradisi yang berlaku setelah negara mencapai kemerdekaaan, malah dengan kedatangan Islam ke alam nusantara, undang-undang adat juga membuat penyesuaian dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat sehingga bertaut dengan landskap pemerintahan Raja Melayu.

“Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri ini, sudah tentulah perkara yang sedikit ini merupakan autonomi kepada negeri di dalam menegakkan syiar Islam selain di wilayah-wilayah Persekutuan.

“Hal yang demikian termasuklah penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya deklarasi sahaja.

“Ia ada kesan perundangan dan implikasi besar terhadap Persekutuan dan negeri-negeri,” katanya.

Menulis di Sinar Harian hari ini, Zainul Rijal berkata, walaupun Islam dalam bidang kuasa negeri, kerajaan Persekutuan tidak berlepas tangan untuk mengabaikannya.

Katanya, hubungan antara persekutuan dan negeri-negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus di dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan umpamanya Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan bahawa Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, manakala Dewan Negeri pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara dinyatakan Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

“Dalam hal yang demikian, fungsi kedua-dua badan ini telah digariskan. Ia seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

“Itulah sebabnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditubuhkan bukan untuk mencampuri urusan agama negeri tetapi sebagai wadah penyeragaman pentadbiran agama di negeri-negeri di mana negeri mempunyai hak mutlak sama ada mengikuti ataupun tidak,” katanya.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-66 yang diadakan pada 13 Jun 2019, meluluskan cadangan penyeragaman undang-undang kesalahan jenayah syariah negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Menerusi kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, penyeragaman itu selaras dengan agenda mahu mewujudkan satu model yang boleh dijadikan asas dan panduan kepada negeri dalam menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah supaya seragam dan memberikan keadilan serta rahmat kepada semua pihak.

“Sehubungan itu, bagi mengatasi ketidakseragaman berkenaan, satu draf model undang-undang kesalahan jenayah syariah akan digubal melalui pindaan sebahagian peruntukan sedia ada dan penambahan beberapa peruntuhan baharu mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, dengan mengambil kira semua peruntukan sedia ada di bawah undang-undang kesalahan jenayah syariah yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri,” kata kenyataan itu.

BERITA BERKAITAN:

Syor seragam undang-undang kesalahan jenayah syariah lulus

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close