Berita UtamaUtama

‘Selesai masalah parti dulu sebelum PH serang PAS’

Pakatan Harapan anggap PAS ancaman untuk kekal memerintah

BANGI, 12 Syawal 1440H, Ahad – Pimpinan Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya menumpukan usaha menyelesaikan masalah dalaman parti sebelum mengeluarkan kenyataan menyerang PAS, kata Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tiada masalah dengan serangan kebanyakan pemimpin dan ahli PH, terutamanya terhadap Muktamar Tahunan PAS, kerana ia akan memberi publisiti kepada perjuangan parti itu.

Iskandar berpendapat, serangan-serangan terhadap PAS khususnya ke atas ucapan pemimpin parti timbul akibat rasa tidak selamat PH.

“Ia dilakukan kerana mereka merasakan PAS adalah ancaman kepada hasrat mereka untuk terus kekal sebagai kerajaan.

“Oleh itu, walaupun mereka menyerang namun tindakan mereka adalah untuk mempertahankan diri atau bersifat ‘defensive’,” katanya.

Beliau berkata, menerusi serangan itu, setidak-tidaknya rakyat Malaysia tahu mengenai Muktamar PAS yang sedang berlangsung di Kuantan, Pahang walaupun beliau yakin ramai yang sudah mengetahuinya.

“Tetapi nasihat saya kepada mereka adalah harap selesaikan masalah parti anda terlebih dahulu. Tidak perlu menyerang PAS untuk menutup masalah yang melanda parti anda,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa seolah-olah menyalahkan golongan muda menyebabkan kemenangan PH pada PRU14, sebagai bukti kegagalan tarbiah yang dibawa parti itu.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, hujah Abdul Hadi yang mengatakan golongan muda yang mengundi PH sebagai ‘tidak mengaji agama’ tetapi ‘mengaji dengan telefon bimbit dan media sosial’ itu disifatkan telah menghina kebijaksanaan anak-anak muda.

Muktamar PAS ke-65 menyaksikan Dewan Muslimat PAS membuka tirai persidangan semalam di Pusat Konvensyen Bukit Gambang di sini, diikuti Dewan Pemuda PAS pada 19 dan 20 Jun di tempat sama.

Selain itu, Dewan Ulama PAS Pusat bersidang di Wisma Belia Indera Mahkota di sini pada 20 Jun manakala persidangan utama berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA di sini selama tiga hari bermula 21 Jun ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close