Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Tentera pakatan Arab Saudi serang kedudukan Houthi

Konflik Yaman sejak 2015 menyebabkan lebih 10,000 terbunuh

SANAA, 11 Syawal 1440H, Sabtu – Tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan ke atas kedudukan militan Syiah Houthi di sini, awal hari ini, lapor stesen televisyen Arab Saudi.

Serangan udara itu mengenai sistem pertahanan udara dan kedudukan Houthi, sehari selepas militan yang mendapat sokongan Syiah Iran melakukan serangan dron ke atas Lapangan Terbang Abha.

Bagaimanapun, lima dron itu dipintas sistem pertahanan Arab Saudi di Khamis Mushait, sebelum sempat tiba di lapangan terbang itu.

Dalam serangan Rabu lalu, 26 orang awam, termasuk dua kanak-kanak cedera apabila roket Houthi mengenai dewan perlepasan lapangan terbang itu.

Dibantu Barat, pakatan tentera diketuai Arab Saudi bertempur dengan militan Syiah Houthi sejak 2015 dalam usaha menempatkan semula kerajaan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa di Yaman.

Konflik Yaman secara keseluruhannya dilihat sebagai perang proksi antara Arab Saudi dan Iran. Setakat ini, perang di Yaman menyebabkan lebih 10,000 terbunuh.

Sejak beberapa bulan lalu, militan Houthi meningkatkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas bandar Arab Saudi, terutama yang bersempadan dengan Yaman. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close