Berita UtamaUtama

Syor seragam undang-undang kesalahan jenayah syariah lulus

Ketidakseragaman hukuman boleh menyebabkan ketidakadilan

BANGI, 11 Syawal 1440H, Sabtu – Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-66 yang diadakan pada 13 Jun 2019, meluluskan cadangan penyeragaman undang-undang kesalahan jenayah syariah negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Penyeragaman itu selaras dengan agenda mahu mewujudkan satu model yang boleh dijadikan asas dan panduan kepada negeri dalam menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah supaya seragam dan memberikan keadilan serta rahmat kepada semua pihak.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada masa ini setiap negeri mengguna pakai peruntukan undang-undang kesalahan jenayah syariah masing-masing yang tidak seragam.

Katanya, ketidakseragaman itu meliputi, antara lain, jenis kesalahan dan hukuman serta kadar hukuman.

“Sebagai contoh, terdapat kesalahan tertentu yang boleh dikenakan hukuman sebatan di sesetengah negeri, tidak boleh dikenakan dikenakan hukuman sebatan di beberapa negeri lain.

“Ketidakseragaman ini antara lain, boleh menyebabkan ketidakadilan, khususnya kepada tertuduh, pihak pendakwaan dan pihak-pihak yang terbabit dalam sesuatu kes jenayah syariah.

“Sehubungan itu, bagi mengatasi ketidakseragaman berkenaan, satu draf model undang-undang kesalahan jenayah syariah akan digubal melalui pindaan sebahagian peruntukan sedia ada dan penambahan beberapa peruntuhan baharu mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, dengan mengambil kira semua peruntukan sedia ada di bawah undang-undang kesalahan jenayah syariah yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, draf model undang-undang berkenaan akan dibentang kepada negeri-negeri melalui forum tertentu bagi mendapatkan pandangan, maklum balas dan persetujuan.

“Jika ia dipersetujui, draf itu akan menjadi model undang-undang yang boleh dijadikan asas dan panduan kepada negeri-negeri dalam menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah yang seragam,” kata kenyataan itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close