Berita UtamaUtama

Bukan kerja UMNO: Najib

Bekas PM sangkal UMNO dalang sebar klip video lucah

BANGI, 11 Syawal 1440H, Sabtu – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyangkal dakwaan bahawa kononnya UMNO adalah dalang dalam penyebaran klip video lucah yang dikaitkan dengan menteri Pakatan Harapan (PH).

Turut menyifatkannya sebagai tuduhan yang mengarut, beliau menegaskan, UMNO tidak masuk campur dalam masalah dalaman PH, mahupun isu membabitkan moral pemimpin mereka.

“Ini soal dalaman Pakatan Harapan dan PKR, kita ambil sikap, kita tidak terlibat sama sekali. Biar ini urusan dalaman. Mereka tahu apa yang sebenarnya. Yang penting sekali adalah kebenaran, soal moral dan etika,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan tuduhan bahawa penyebaran video itu adalah ‘kerja’ UMNO, beliau berkata,” Mengarutlah… ini bukan kerja kita.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial video lucah mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaparkan aksi intim bersama dengan seorang lelaki.

Seorang individu bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz telah membuat kenyataan menerusi video di laman Facebook peribadinya bahawa dia adalah individu yang terlibat dalam video berkenaan.

Azmin dalam kenyataannya pada Rabu lalu menafikan dirinya adalah individu dalam video berkenaan.

Bagaimanapun, Khamis lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, ditangkap susulan laporan polis yang dibuatnya berhubung video yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pada 11 Jun lalu, Lokman membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung satu rakaman audio dan tiga rakaman video lucah oleh dua individu lelaki yang didakwa dihantar kepadanya melalui WhatsApp.

Dalam laman Telegramnya, dia mendakwa salah seorang individu yang terdapat di dalam video itu mirip wajah seorang ahli politik.

“Laporan ini saya buat bagi menyiasat kesahihan video berkenaan dan meminta pihak polis mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang menyebarkan, yang berlakon di dalam video itu dan menghasilkan video tersebut,” kata Lokman.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close