Berita Utama

Cukai tanah kubur Cina di Johor hanya RM10

Perkuburan Hokkien di Pontian dapat pengurangan 4,473 peratus

JOHOR BHARU, 23 Muharram 1442H, Jumaat – Masyarakat Cina di Johor mendapat habuan besar selepas tidak perlu lagi membayar cukai tanah untuk setiap lot perkuburan dengan kadar yang tinggi, kerana kini ia hanya berharga RM10, kata Penasihat Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Lapan organisasi perkuburan Cina dengan 27 tanah perkuburan dari Pontian, Kulai, Jementah, Muar, Kluang, Bukit Bakri, Segamat dan Grisek dikenal pasti menerima manfaat itu.

Portal berita MCA melaporkan, ini adalah janji yang dibuat oleh Siew Kiong pada bulan Jun lepas, sambil menyeru semua perkuburan Cina yang mengalami masalah kenaikan cukai tanah untuk menyerahkan maklumat diperlukan bagi mendapatkan bantuan dan penyelesaian. 

Beliau memaklumkan, Jabatan Tanah Johor akan menangani masalah cukai tanah perkuburan Cina secara berperingkat.

“Selepas mendapat persetujuan, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah mengarahkan jabatan-jabatan terlibat untuk menyelesaikannya menurut peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor iaitu cukai tanah untuk kegunaan keagamaan dan tidak berasaskan keuntungan,” katanya seperti dilapor portal berkenaan.

Siew Kiong yang juga Ketua MCA Pontian memberikan contoh, jawatankuasa pengelola perkuburan Cina Hokkien mempunyai dua lot tanah perkuburan dan cukainya pada tahun 2019 ialah RM1,278, tetapi pada tahun 2020 cukai tanahnya ialah RM89,460. 

“Selepas penyelarasan baru ini, kerajaan negeri akan mengenakan cukai tanah kategori kegunaan keagamaan dan tidak berasaskan keuntungan untuk tanah perkuburan Cina, setiap lot tanah perkuburan hanya perlu membayar RM10.

“Perkuburan Cina Hokkien di Pontian hanya perlu membayar RM20 untuk dua lot tanah perkuburan, pengurangannya sebanyak 4,473 peratus,” katanya.

Beliau turut mendedahkan, buat masa ini terdapat enam organisasi perkuburan Cina yang sedang memohon pengurangan cukai untuk lebih daripada 10 lot tanah perkuburan mereka. 

“Laporan penilaian lot tanah yang dibuat oleh jabatan tanah daerah masing-masing akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk pengesahan dan persetujuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button