Berita UtamaUtama

4 orang asli positif influenza B

Pemantauan dilakukan berterusan, tiada kes, kematian baru direkodkan

SEREMBAN, 11 Syawal 1440H, Sabtu – Keputusan siasatan awal sampel sapuan tekak (throat swab) ke atas lima orang asli yang dimasukkan ke Hospital Tampin dua hari lepas, mendapati empat daripada mereka positif Influenza B.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Zainudin Mohd Ali dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, bagaimanapun kesemua mereka beransur pulih.

“Di tapak rumah kongsi di Rembau juga yang sembilan orang sebelum ini diberikan rawatan juga bertambah baik. Tiada kes baharu dan kematian direkodkan, bagaimanapun pemantauan berterusan akan diteruskan jabatan itu,” katanya.

Pada 13 Jun lepas, media melaporkan seramai 14 orang penghuni rumah kongsi di Kampung Kendong Baru di Kota, Rembau disahkan dijangkiti wabak Influenza Like Illness (ILI).

Daripada jumlah itu, lima orang asli dimasukan ke wad di Hospital Tampin untuk rawatan manakala baki sembilan orang lagi iaitu empat orang asli, tiga warga Bangladesh dan dua warga Indonesia, telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar semasa saringan kesihatan dijalan di rumah kongsi terbabit.

Dr Zainudin berkata, bagaimana pun kes yang berlaku di Rembau tiada kaitan dengan wabak yang berlaku di Gua Musang, Kelantan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close