AfrikaBerita UtamaDuniaUtama

VIDEO | 17 orang awam dibunuh, 100 rumah dibakar di Darfur

Militan Janjaweed dituduh melakukan keganasan terhadap penduduk

DARFUR, 10 Syawal 1440H, Jumaat – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan 17 penduduk di Kampung Deleij, di sini dibunuh, sementara lebih 100 rumah lagi dibakar, awal minggu ini.

Misi PBB-Kesatuan Afrika di sini juga berkata, 15 lagi penduduk cedera dalam keganasan membabitkan kumpulan nomad dan penduduk tempatan berikutan kemarahan susulan kenaikan harga barang komoditi di pasar.

Pasukan perubatan berkata, militan Janjaweed melepaskan tembakan peluru hidup secara rambang ke arah orang awam di pasar Deleij di tengah Darfur, membunuh 11 orang dan mencederakan 20 yang lain dalam serangan Isnin lalu.

Janjaweed adalah kumpulan militan yang dituduh melakukan kekejaman di wilayah ini, ketika konflik umum yang bermula pada 2003, dan, menurut anggaran PBB, sehingga 300,000 orang terbunuh, manakala 2.7 juta lagi hilang tempat tinggal.

Presiden yang digulingkan Omar al-Bashir yang memerintah ketika itu bagaimanapun, menafikan tuduhan berkenaan.

Militan Janjaweed diserapkan ke dalam pasukan separa tentera Sudan – Pasukan Tindakan Ringan (RSF) – yang menjadi kumpulan utama mengawal ibu negara Sudan, Khartoum, sejak Bashir digulingkan pada 11 April lalu.

Timbalan ketua Majlis Peralihan Tentera (TMC) yang memerintah negara itu selepas Bashir digulingkan, Lt Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, mengetuai RSF.

Saksi berkata, RSF menyerbu penunjuk perasaan di Khartoum pada 3 Jun lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 108 terbunuh, sekali gus menggagalkan rundingan kumpulan prodemokrasi dengan tentera, bagi membolehkan peralihan kuasa kepada orang awam.

TMC berkata, mereka menghantar anggota untuk berbincang dengan penunjuk perasaan bagi mengelakkan keganasan merebak.

Bagaimanapun, TMC mendakwa beberapa anggota RSF diserang oleh kumpulan yang memakai seragam tentera bagi memburukkan reputasi mereka.


Kelmarin, Amnesty International mengedarkan bukti baharu, termasuk imej satelit, menunjukkan tentera kerajaan Sudan terus melakukan jenayah perang, serta beberapa pelanggaran hak asasi manusia di Darfur.

Bukti satelit dan testimoni mengesahkan tentera kerajaan bersama kumpulan militan Janjaweed merosakkan atau memusnahkan sekurang-kurangnya 45 kampung di Jebel Marra antara Julai 2018 hingga Februari tahun ini.

Walaupun, kerajaan Sudan mengenakan sekatan memasuki Jebel Marra, Amnesty mengesahkan serangan terbaharu terhadap orang awam.

Setiausaha Agung Amnesty International, Kumi Naidoo berkata, RSF melakukan kekejaman terhadap orang awam di Darfur dan Khartoum.

“TMC mesti menarik balik dengan serta-merta anggota RSF dalam semua tindakan, terutama di Khartoum dan Darfur, dan mengurung mereka di berek bagi menjamin keselamatan orang awam,” katanya.

Bagaimanapun, Komander Operasi RSF, Mejar Jeneral Osman Mohamed Hamid berkata, tidak ada elemen Janjaweed di Khartoum sekarang ini.

“Janjaweed adalah elemen yang bergerak ketika era pergerakan bersenjata di Darfur. Mereka tidak tergolong dalam kategori atau suku tertentu.

“Mereka adalah elemen yang memberontak terhadap undang-undang, mengancam setiap orang di Darfur. Mereka adalah elemen yang tidak mempunyai kepimpinan, tidak ada struktur,” katanya.

Sementara itu, pembangkang Sudan dan TMC bersetuju menyambung semula dialog bagi menyelesaikan krisis politik di negara itu.

Utusan Khas Perdana Menteri Ethiopia, Mahmoud Drir berkata, perbincangan bagi membentuk Majlis Peralihan Kerajaan akan bermula secepat mungkin.

“TMC juga bersetuju membebaskan tahanan politik selepas pembangkang bersetuju menghentikan tunjuk perasaan dan bantahan,” katanya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close