Berita UtamaUtama

Tiga beranak maut nahas

Proton Saga dikatakan terbabas bertembung kereta lain

KUANTAN, 10 Syawal 1440H, Jumaat – Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna yang berada di laluan bertentangan di Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Kampung Cherok Paloh di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian pada 4 petang itu menyebabkan semua mangsa yang menaiki kereta Proton Saga maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mereka yang maut ialah pemandu kereta Nurul Jannah Bazlan, 24, anaknya Nursyaffina Qalesya Mohammad Solahuddin, 4, dan ibunya Asnawati Muslimin, 53.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dinaiki mereka dari arah Kuantan menuju ke Pekan memasuki laluan bertentangan dan merempuh Chery Eastar yang dinaiki pasangan suami isteri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kemalangan menyebabkan seorang lagi anak Nurul Jannah, Muhammad Syamil Aqmal, setahun, dan adik Nurul Jannah, Nurul Syaffiya, 17, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang cedera.

Pasangan suami isteri tersebut Nasran Samsudin, 50, dan Masnida Muda, 46, yang berasal dari Kampung Pulau Tambun, Pekan cedera dan kini dirawat di Hospital Pekan.

“Kemalangan menyebabkan kereta Proton Saga itu remuk keseluruhan di bahagian hadapan,” katanya.

Kamarulzaman berkata, jenazah tiga sekeluarga yang berasal dari Kampung Ketapang Tengah, Pekan, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, saudara mangsa memberitahu ketiga-tiganya baharu pulang daripada menziarah saudara mereka yang sakit. 

Rafie Ismail, 42, berkata dia diberitahu Asnawati Muslimin, 53, mengajak anaknya, Nurul Jannah Bazlan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menziarah bapa saudara mereka yang sudah seminggu berada di wad kerana penyakit buah pinggang. 

“Saya diberitahu mereka keluar dari rumah di Kampung Ketapang Tengah di Pekan sekitar 10 pagi kerana mahu mengejar waktu melawat tengah hari,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik hospital itu di sini, hari ini. 

Rafie berkata, suami Asnawati, Bazlan Harun, 50,  memintanya untuk menguruskan jenazah di HTAA kerana suami Nurul Jannah, Mohammad Solahuddin Mohd Saufi, 30, kini menemani anaknya yang berada di zon kecemasan hospital sama. 

Katanya, semua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketapang Hilir pada pagi esok. 

“Suami Asnawati memberitahu dia agak terkejut apabila diberitahu mereka terbabit kemalangan di jalan itu kerana Nurul Jannah tidak pernah melalui jalan dalam ke Pekan kerana lebih suka melalui jalan utama Penor,” katanya. 

Sementara itu, bapa mentua Nurul Jannah yang hanya dikenali sebagai Mohd Saufi, 50-an, berkata kali terakhir mereka bertemu ialah pada Rabu lepas, apabila arwah sekeluarga pulang ke Taman Chini Permai, Pekan. 

Katanya, ketika itu Nursyaffina Qalesya yang dipanggil kakak, begitu manja dan mengikutnya keluar untuk menjemput anaknya yang masih bersekolah. 

“Masa nak balik, kakak minta untuk makan aiskrim milo yang dibuat neneknya untuk berjual. Dia tak mahu balik selagi tidak diberi sehingga kami mengalah… barulah dia setuju untuk balik,” katanya. 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close