ArtikelBerita UtamaUtama

‘Jangan biar seni silat pupus’

Langkah kemas tapak tujuh nobat Man Putra di persada persilatan

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

MELAKA, 10 Syawal 1440H, Jumaat – Bunyi senduk dan kuali berlaga ketika Norazman Naim memasak di gerainya sering mengimbau kembali kenangan beliau bermain keris di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 1987 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Walaupun lebih 30 tahun berlalu, masih segar dalam ingatan di mana beliau yang berganding dengan Zainal Zaluddin (Allahyarham) mendapat pingat emas dalam kejuaraan itu.

Kini berusia 56 tahun, beliau yang lebih dikenali sebagai Man Putra tidak aktif bersilat lagi, namun masih membantu pelbagai aktiviti persatuan silat – Persatuan Seni Silat Hulubalang Melaka (Silat Hulubalang) – dan ada kalanya mewakili negeri Melaka bagi memenuhi jemputan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

“Tanpa ilmu dan tunjuk ajar pengasas Silat Hulubalang, Sotin Md Ali (Allahyarham), mungkin saya tidak dapat menjadi juara silat dunia itu,” katanya.

Kemenangan itu di luar dugaan, tambah Norazman, kerana ketika itu beliau hanya mempunyai pengalaman bersilat selama kira-kira tiga tahun.

“Tapi langkah kemas tapak tujuh yang diajar Pak Sotin banyak membantu kami untuk mengutip mata tertinggi sehingga dinobatkan juara kategori senjata bagi lelaki,” katanya kepada Bernama.

Bukan untuk bermegah

Norazman kini tidak aktif bersilat kerana lebih menumpukan perhatian kepada gerainya – ‘Warung Mi Bodo 2 x’ – menjual pelbagai masakan ‘goreng-goreng’ di Padang Temu, kira-kira 8 kilometer dari sini. (Mi Bodo (Bodoh) bermaksud mi yang digoreng ringkas dengan ramuan paling minimum.

Beliau yang pernah menjadi jurulatih silat sekitar 1990-an mengakui sukar memberi komitmen penuh di gelanggang kerana perlu menguruskan gerainya yang merupakan satu-satunya sumber rezeki sejak dua tahun lalu.

Bercerita lanjut, Norazman berkata, semua murid (pesilat) akan ke rumah Pak Sotin untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah sebelum kelas silat dimulakan. Kelas diadakan tiga kali seminggu.

“Dengan cara itu kami tidak melalaikan tanggungjawab untuk bersolat. Selain gerak dan langkah silat, Pak Sotin mengajar kami (pesilat) aspek agama dan sahsiah. Beliau juga berpesan bahawa ilmu silat bukan untuk bermegah-megah,” tambahnya lantas bangun ke dapur untuk menyediakan pesanan pelanggan yang baru sampai.

Sebenarnya perbualan kami terhenti beberapa kali sebelum itu kerana Norazman perlu menyediakan pesanan pelanggan. Kedengaran bunyi ‘kelentang-kelentung’ apabila beliau memasak. Tidak hairanlah jika bunyi itu mengingatkan Norazman mengenai permainan keris.

Corak peribadi individu

Sementara menunggu, penulis menikmati ‘mi bodo’ yang disediakan Norazman sebelum itu. Penulis bernasib baik dapat berbual dengannya ketika itu kerana gerai baru dibuka, jadi belum ramai pelanggan. Gerainya beroperasi 6 petang hingga 12 malam.

Menyambung perbualan, Norazman yang menyatakan kebimbangannya akan nasib seni silat Melayu pada masa depan berkata:

“Generasi muda perlu diberi galakan dan ruang seluasnya untuk mempelajari seni silat demi mempertahankan warisan itu daripada pupus ditelan zaman.

“Sebenarnya saya patah hati memikirkan masa depan silat, kebanyakan budak-budak sekarang sudah hilang jati diri sebagai Melayu. Mereka lebih minat tae kwan do, kick boxing, ninjutsu dan lain-lain berbanding silat yang merupakan seni mempertahankan diri warisan Melayu.”

Pernah belajar tae kwan do, Norazman mengakui silat lebih dekat di hatinya kerana ia bukan sekadar ilmu bela diri, malah ilmu agama dan disiplin yang boleh mencorak peribadi individu yang mempelajarinya.

Malah, mana-mana aliran silat sekalipun akan mengajar pengikutnya agar tidak melakukan aktiviti kurang sihat dan perkara menyalahi undang-undang, jauh sekali yang bertentangan ajaran agama Islam.

“Ibu bapa berperanan menggalakkan anak-anak untuk belajar silat agar warisan Melayu tidak hilang suatu hari kelak,” katanya.

Bekas Jaguh Silat Dunia era 80-an, Norazman Naim, 56, atau lebih dikenali sebagai Man Putra menunjukan mee goreng yang cukup popular di kalangan penduduk setempat sebagai “Mee Goreng Bodo Telur Mata” ketika ditemui Bernama di gerainya di Padang Temu, baru-baru ini.

Filem kembalikan kegemilangan silat

Mengimbas masa lalu, Norazman berpendapat punca kebangkitan anak muda memenuhi gelanggang silat pada 1970-an hingga 1990-an adalah kerana ketika itu banyak ditayangkan filem-filem silat seperti Pendekar pada 1977, Serampang Tiga (1981), Pendekar Kundur (1991) dan Siri Drama bertajuk Keris Hitam Bersapuh Emas (1990an-2002).

“Malah, saya mula belajar silat selepas menonton melihat filem-filem itu, walaupun meminatinya sejak kecil. Ketika itu usia saya dalam 20-an.

“Kini amat jarang ditayangkan filem-filem silat, apatah lagi filem baharu seumpamanya. Saya harap syarikat-syarikat penerbitan filem kembali menerbitkan filem silat agar dapat memupuk minat generasi muda mempelajari seni bela diri itu,” tambah beliau yang adakalanya turun ke gelanggang membantu jurulatih mengajar silat.

Sementara itu, penulis sempat menemu bual seorang peminat silat, Amran Ali, 45 dari Kampung Pernu, Teluk Emas, yang memberitahu bahawa silat yang dipelajari sejak zaman persekolahan sudah sebati dalam dirinya walaupun hampir empat tahun tidak aktif bersilat.

“Walaupun silat bersifat universal dan diterima masyarakat antarabangsa, silat tetap membawa identiti Melayu baik dari segi langkah, budaya, pakaian, senjata dan sebagainya.

“Begitu juga seni bela diri lain contohnya tae kwan do membawa nilai budaya masyarakat Korea, kalaripayattu bagi masyarakat India, kung fu (China), muay thai ( Thailand) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu bebas memilih seni bela diri yang mereka minati namun jika bukan orang Melayu yang mempertahankan seni silat, siapa lagi?

Suka baju hitam

Penulis singgah di gelanggang Silat Hulubalang di Padang Temu. Setibanya di sana kelihatan dua kumpulan pesilat dengan jurulatih masing-masing. Satu kumpulan terdiri daripada kanak-kanak, manakala kumpulan lain adalah remaja dan dewasa.

Pesilat cilik, Muhammad Shoutul Tafhim Shaharim, 6, memberitahu bahawa beliau suka melihat pesilat berpakaian seragam hitam (baju Melayu hitam) kerana tampak hebat.

“Saya nak belajar silat, saya pun ada baju hitam. Saya suka baju silat sebab boleh juga dipakai ketika jalan-jalan. Tapi kalau baju putih (tae kwan do), saya malu nak pakai jalan-jalan,” katanya.

Menurut bapanya, Shaharim Sulong, 42, terdahulu anaknya belajar tae kwan do bagi mempertahanan diri daripada dibuli rakan-rakannya.

“Saya belajar tae kwan do sebab tak nak bagi kawan pukul tapi saya belajar silat sebab silat lebih hebat,” tambah Muhammad Shoutul Tafhim.

Kanak-kanak itu meminati silat kerana Shaharim kerap juga membawa anak bongsunya itu menyaksikan latihan silat di gelanggang berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.

Ternyata minat kanak-kanak itu timbul kerana kerap mengunjungi gelanggang silat, jadi tidak mustahil sekiranya seni silat sering ditayangkan sama ada melalui filem dan seumpamanya, akan dapat memikat hati generasi muda menjadi pesilat.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close