Berita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

AS tuduh Iran serang dua kapal tangki di Selat Hormuz: Video

Front Altair, Kokuka Courageous rosak akibat letupan periuk api

DUBAI, 10 Syawal 1440H, Jumaat – Tentera Amerika Syarikat (AS) hari ini mengedarkan video yang menunjukkan Pengawal Revolusi Iran menanggalkan periuk api yang tidak meletup pada badan sebuah kapal tangki di Selat Hormuz, semalam.

Washington percaya gambar dan video itu jelas menunjukkan pasukan elit Iran menghampiri kapal tangki berkenaan dan menanggalkan periuk api yang tidak meletup.

AS mendakwa Iran cuba menutup bukti pembabitannya dalam serangan ke atas dua kapal tangki minyak iaitu satu milik Norway, MT Front Altair, dan satu lagi milik Jepun, Kokuka Courageous.

Tentera Laut AS semalam, bergegas membantu kapal yang terperangkap di Teluk Oman di luar pantai Iran, termasuk MT Front Altair yang terbakar akibat letupan.

Bagaimanapun, pemilik kapal tangki belum membuat sebarang penjelasan mengenai siapa dan apa yang menyebabkan kerosakan ke atas MT Front Altair dan Kokuka Courageous – kedua-duanya penuh dengan produk petrolium.

Tehran menerusi kenyataan yang dikeluarkan diplomatnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menafikan terbabit dalam serangan itu.

Bagaimanapun, Iran pernah menggunakan periuk api untuk menyerang kapal tangki pada 1987 dan 1988 ketika ‘Perang Kapal Tangki’.

Rakaman video hitam putih, selain gambar diterbitkan Pusat Pemerintah Tentera AS, menunjukkan periuk api di badan Kokuka Courageous.

Pengawal Revolusi Iran menggunakan bot yang dihimpit ke badan kapal tangki itu dan menanggalkan periuk api, kata jurucakap pusat pemerintah tentera, Kapten Bill Urban.

“AS dan komuniti antarabangsa kekal dengan pendirian akan mempertahankan kepentingan, termasuk kekebasan navigasi.

“Amerika Syarikat tidak berminat untuk terbabit dalam konflik baharu Timur Tengah, tetapi kami akan mempertahankan kepentingan kami,” katanya.

Serangan ke atas kedua-dua kapal tangki itu dipercayai dilakukan kira-kira 40 kilometer di selatan perairan Iran, semalam.

Video itu dikatakan diambil 10 jam selepas kedua-dua kapal tangki terbabit menghantar isyarat kecemasan, dan kira-kira lima jam selepas kapal perang AS menyelamatkan 21 anak kapal Kokuka Courageous.

MT Front Altair yang membawa bahan mudah terbakar hydrokarbon dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghantar isyarat kecemasan meminta bantuan, selepas terbakar.

Beberapa jam kemudian, Kokuka Courageous yang mengangkut methanol dari Arab Saudi dan Qatar, turut menghantar isyarat kecemasan.

Tentera Laut AS menghantar kapal pemusnah, USS Bainbridge, untuk memberi bantuan, kata jurucakap Angkatan Ke-5 Tentera Laut AS, Komander Joshua Frey.

Kejadian semalam menyerupai serangan pada Mei lalu yang menyasarkan empat kapal tangki minyak dari pelabuhan Fujairah, UAE.

Ketegangan antara Iran dan AS, termasuk sekutu Washington – Arab Saudi – meningkat susulan tindakan Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian antarabangsa yang mengehadkan program nuklear Tehran, tahun lalu.

Sejak itu, AS mengambil pelbagai langkah, termasuk mengenakan sekatan ekonomi. Mei lalu, AS menambah bilangan anggota tentera dan angkatan lain, termasuk menempatkan pesawat pengebom B-52 di Qatar, bagi menangani ancaman Iran.

Sementara Riyadh pula menyalahkan Tehran kerana membantu puak militan Syiah Houthi, menyerang Arab Saudi. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close