Pendapat

Kembalikan PPSMI ibarat tikus baiki labu

MENARIKNYA, saat pendidikan di Malaysia kembali berbahas mengenai Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Indonesia dengan berani dan bangganya mengeluarkan subjek Bahasa Inggeris daripada kurikulum sekolah dasar dan menjadikannya hanya sebagai subjek pilihan.

Ini berlaku pada tahun 2013 di mana Indonesia telah mengambil langkah agresif dalam mengukuhkan pembinaan bangsa Indonesia dengan memperkenalkan Kurikulum Tingkat Satuan Pendidikan (KTSP) di peringkat Sekolah Dasar (Sekolah Rendah).

Dalam kurikulum itu, Pendidikan Kewarganegaraan menjadi antara subjek penting di samping subjek Bahasa Indonesia dan lima lagi subjek lain yang turut dimuatkan dalam kurikulum itu.

Ini antara usaha mereka untuk menyatukan lebih 270 juta rakyatnya yang terdiri daripada 500 bahasa etnik utama di lebih 2,000 pulau dan daerah yang berselerak.

Dalam subjek Pendidikan Kewarganegaraan ini, anak-anak di Indonesia dididik dengan semangat kebangsaan, mengenal suku bangsa dan agama dan seterusnya menjadi wahana dalam melestarikan nilai luhur dan moral yang berakar pada budaya bangsa Indonesia.

Di Malaysia, pendidikan seolah-olah turut dijajah kolonial apabila idea untuk Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kembali diangkat. Sarawak khabarnya akan mula melaksanakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris untuk murid tahun satu pada tahun hadapan.

Meskipun dalam meningkatkan kualiti penguasaan Bahasa Inggeris ketika ini telah berjalan, dasar memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris yang memperuntukkan lebih banyak masa untuk subjek Bahasa Inggeris – dua subjek penting yang menjadi asas serta titik tolak pembabitan murid dalam bidang sains dan teknologi ini juga turut ingin ‘diinggeriskan’.

Dual Language Programme sudah pun bergerak lebih daripada 1,000 buah sekolah di seluruh negara dan hampir 6,000 buah sekolah telah melaksanakan program pembudayaan Bahasa Inggeris yang dikenali sebagai Highly Immersive Programme (HIP).

Kita juga sudah ada ‘Road Map’ yang begitu holistik dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris untuk lebih daripada lima juta murid, tenaga pengajar dan juga institusi yang terbabit dalam memastikan aras penguasaan Bahasa Inggeris terus meningkat dari semasa ke semasa.

41,676 guru opsyen Bahasa Inggeris terlatih dengan kelulusan sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma siap untuk mencapai misi ini. Hampir 30 ribu daripada guru-guru ini telah pun mencapai standard kualiti antarabangsa yang ditetapkan dalam Common Europian Framework of Reference (CEFR).

Semua ini jika diteliti laporan pencapaian semasa yang dibentangkan sudah cukup tuntas untuk menafikan penjajahan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik ini.

Jangan ‘dibakulsampahkan’ kajian-kajian yang menunjukkan kegagalan PPSMI sebelum ini dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Lihat juga bagaimana PPSMI sebelum ini memberi kesan negatif yang amat buruk kepada pencapaian subjek Sains dan Matematik sebelum ini. Lihat juga nasib dan apa yang berlaku kepada generasi PPSMI yang betul-betul ibarat tikus putih yang digunakan sebagai bahan uji kaji.

Malang sungguh pendidikan di Malaysia. Masih belum mampu untuk merdeka.

Asmadi Abdul Samad
Timbalan Ketua Pemuda Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close