Berita UtamaUtama

Wanita 61 tahun maut dijangkiti rabies di Sarawak

Mangsa tidak mendapat rawatan susulan selepas digigit anjing liar

KUCHING, 9 Syawal 1440H, Khamis – Seorang wanita berusia 61 tahun dari Pending, Kuching disahkan meninggal dunia akibat jangkitan rabies pada jam 10.47 malam tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa disahkan dijangkiti rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 Jun 2019. 

“Dukacita dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia semasa dalam rawatan di wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 12 Jun 2019 jam 10.47 malam. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Dengan pengesahan ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 12 Jun 2019 adalah 19 kes; termasuk 18 kematian. Daripada 19 kes tersebut, tiga (3) kes dilaporkan pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes ini mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanannya pada 29 April 2019. 

Beliau berkata, ia berlaku semasa mangsa cuba menghalau anjing berkenaan yang sentiasa menyalak kepadanya. 

“Beliau telah mencuci luka tersebut selama 5 minit dan terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya dan diberi temu janji seminggu kemudian. 

“Bagaimanapun, beliau tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya telah sembuh,” katanya.

Dr Noor Hisham menegaskan, salah satu cara pencegahan jangkitan rabies pada manusia adalah segera membasuh luka gigitan dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur haiwan. 

Selepas itu, katanya, mangsa gigitan perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan. 

“Sentiasa elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan liar memandangkan kebanyakan kawasan di Sarawak adalah positif rabies.

“Bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi mencapai Sarawak bebas rabies, orang ramai diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan program kawalan dan pencegahan rabies yang dijalankan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close