Pendapat

VIDEO | Kewajipan umat Islam sokong produk muslim

Peniaga muslim wajib jaga kualiti produk ikut peraturan ditetap syarak

 

1. LUANGKAN masa untuk menonton video ini seketika. Ia adalah kempen menyokong produk muslim. Tahukah anda antara tindakan terawal yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dalam membangunkan Negara Islam Madinah adalah dengan membina pasar perniagaan bagi orang-orang Muslim. Ketika itu ekonomi Madinah dikuasai oleh Yahudi.

2. Pasar Yahudi Bani Qainuqa’ telah menjadi tumpuan aktiviti perdagangan ketika itu. Namun, amalan perniagaan Yahudi tidak selari dengan prinsip Islam. Mereka terkenal dengan konsep riba yang dianjurkan dalam transaksi jual beli mereka sehingga hari ini. Malah di pasar inilah seorang muslimah diganggu kehormatannya.

3. Bagi memecahkan monopoli penguasaan Yahudi terhadap ekonomi Madinah, Rasulullah ﷺ membangunkan pasar buat muslim sebagai pusat perdagangan kaum muslimin di Madinah. Tindakan Baginda ﷺ ini menimbulkan kemarahan Yahudi lalu mereka menghantar Kaab Bin Asyraf, seorang pembesar Yahudi. Kaab datang lalu merobohkan khemah perniagaan yang dibangunkan oleh Baginda.

4. Bertegas dengan tindakan Kaab yang merobohkan khemah perdagangan pasar kaum Muslimin, Rasulullah ﷺ menegaskan:

لا جرم لأنقلنّها إلى موضع هو أغيظ له من هذا

“Baiklah, kita akan bina pasar yang lebih dimarahi (yang lebih dibimbangi oleh Yahudi) daripada ini!” (al-Samhudi, Wafa al-Wafa’, 2/257)

5. Menurut riwayat Ibn Usayd, seorang sahabat mencadangkan tapak yang lebih luas untuk pasar muslim. Bahkan menurut riwayat Ibn Syabah, Rasulullah ﷺ sendiri yang menyumbang ke arah pembangunan pusat perdagangan muslim. Kata beliau:

أن رسول الله صلّى الله عليه وسلّم تصدق على المسلمين بأسواقهم

“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ sendiri menyumbang (melaburkan wang kepada pembangunan) pasar-pasar perdagangan kaum muslim.” (al-Samhudi, Wafa al-Wafa’, 2/257)

6. Tindakan Rasulullah ﷺ ini dilihat sebagai usaha bagi membantu ekonomi muslim. Baginda bahkan menjalankan dasar-dasar baharu bagi menggalakkan kaum muslimin supaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan pertanian.

6. Saidina Uthman juga dikatakan melaburkan sejumlah wang yang banyak bagi membeli ‘Telaga Rumah’, iaitu salah satu telaga yang menjadi punca air di Madinah. Ini semua bagi menjaga kepentingan sumber dan ekonomi orang Islam.

7. Kesannya, ekonomi Madinah yang sebelum itu dimonopoli oleh Yahudi berjaya dipecahkan. Kaum muslim bersatu dalam membangun dan menyokong ekonomi orang Islam.

8. Begitulah juga keadaan pada hari ini. Kaum muslim disarankan agar membantu dalam usaha membangunkan dan menyokong produk muslim. Dalam masa yang sama, peniaga muslim juga wajib menjaga kualiti produk mereka disamping mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Mari sokong produk muslim.

Kredit video kepada: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

 Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close