Berita UtamaUtama

Sediakan mekanisme lebih sistematik untuk penerima BSH

Pemberian bantuan patut mudahkan rakyat miskin bukan sebaliknya

BANGI, 9 Syawal 1440H, Khamis – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa untuk menyediakan satu mekanisme yang lebih baik dan sistematik dalam kaedah pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada rakyat.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, pihaknya menerima banyak aduan di setiap Pusat Aduan Rakyat (PAR) mengenai kesukaran rakyat untuk beratur dan berurusan bagi mendapatkan bantuan berkenaan.

Beliau berkata, hasil tinjauan di beberapa kawasan khususnya Sandakan dan Kota Kinabalu, semua cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) penuh sesak dengan penerima bantuan itu. 

Malah, katanya, ada yang datang seawal jam 5 pagi bagi memastikan urusan mereka selesai.

“PAS Sabah amat sayu melihat keadaan seumpama ini. Sebahagian mereka adalah golongan warga emas yang pastinya agak sukar untuk datang ke cawangan-cawangan BSN itu. Sebahagiannya pula membawa anak-anak kecil, di samping kemudahan tempat duduk yang sangat terhad di premis tersebut.

 

“Saya tidak pasti di mana silapnya kaedah yang digunakan kerajaan ini. Rakyat dilihat seumpama peminta sedekah. Sepatutnya pembahagian sumbangan ini memudahkan rakyat miskin, bukan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melahirkan rasa dukacita terhadap situasi berkenaan, justeru, PAS Sabah meminta kerajaan mempertingkatkan kaedah pemberian BSH ke arah yang lebih baik bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close