Berita UtamaUtama

Polis gali semula kubur orang asli

Kematian misteri: Jenazah lelaki suku Batek dibedah siasat kali kedua

GUA MUSANG, 9 Syawal 1440H, Khamis – Kubur Orang Asli suku Batek, Romi Hamdan digali semula hari ini untuk membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan ke atas mayat lelaki itu.

Romi Hamdan, 25, meninggal dunia pada 29 Mei lalu dilapor akibat jangkitan radang paru-paru atau pneumonia dan dikebumikan mengikut cara Islam pada 30 Mei di dalam hutan Kuala Koh, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mayat itu dibawa keluar oleh Unit Forensik pada jam 3.30 petang ini.

“Kuburnya berada di dalam hutan. Mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan ujian-ujian lanjut,” katanya pada sidang media di Ladang Aring 10, di sini.

Mengenai penemuan empat lagi mayat Orang Asli dalam operasi pencarian hari ini, Mohd Taufik berkata, semua mayat tidak dibawa keluar dan lokasi penemuan ditandakan untuk tindakan lanjut.

“Ada mayat yang ditemui dibalut dengan tikar mengkuang… kami jumpa, kami tak usik dan hanya buatkan tanda,” katanya.

Beliau berkata, operasi mengesan baki empat lagi daripada 12 mayat Orang Asli itu dijangka mengambil masa lebih lama berikutan lokasinya jauh di pedalaman hutan. Sehingga hari ini lapan mayat telah ditemukan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close