Berita UtamaUtama

Penagih ugut bunuh ibu

Polis tangkap lelaki ada empat rekod jenayah, dadah

KEPALA BATAS, 9 Syawal 1440H, Khamis – Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah ditahan polis semalam kerana mencederakan ibu kandungnya dan mengugut untuk membunuhnya, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor, hari ini.

Beliau berkata, lelaki berumur 36 tahun itu yang mempunyai empat rekod jenayah dan dadah, ditahan kira-kira jam 4 petang di rumah keluarganya di Penaga dekat sini, ekoran satu laporan polis yang dibuat ibunya yang berumur 60 tahun.

“Wanita itu melaporkan anaknya pulang ke rumah dalam keadaan marah-marah dan mengamuk sebelum bertindak menolak motosikalnya sehingga hampir terkena ibunya,” katanya di sini.

Suspek kemudiannya mencekik leher ibunya selain mengancam untuk membunuhnya, namun mangsa yang tercedera di bahagian punggung ketika pergelutan itu bertindak menggigit tangan suspek sebelum melepaskan diri.

“Mangsa yang dibantu anak bongsunya kemudian telah ke balai polis di sini sebelum sepasukan polis bertindak menahan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah,” katanya.

Seksyen 506 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close