Berita UtamaDuniaUtama

Palestin desak Mesir, Jordan tak hadir persidangan di Bahrain

Sidang pelan damai anjuran Washington hanya berpihak kepada Israel

GAZA, 9 Syawal 1440H, Khamis – Palestin mendesak Mesir dan Jordan mempertimbangkan semula kehadiran mereka pada persidangan diketuai negara pembuli, Amerika Syarikat (AS) di Bahrain, dengan menyatakan ia akan melemahkan pembangkang terhadap rancangan Washington menangani konflik Israel-Palestin.

“Pihak Berkuasa Palestin mendesak Mesir dan Jordan untuk tidak menghadiri persidangan di Bahrain,” kata jurucakap Kerajaan Palestin, Ibrahim Melhem.

Beliau mengulangi penolakan Palestin terhadap persidangan itu, sekali gus menekankan bahawa negara berkenaan tidak akan menghadirinya termasuk mendesak negara lain untuk turut memboikot.

Difahamkan, desakan itu dibuat selepas pegawai Rumah Putih yang tidak dinamakan menyatakan bahawa kedua-dua negara itu – bersama Maghribi – telah bersetuju untuk menyertai persidangan itu di ibu negara Bahrain, Manama, akhir bulan ini.

Bagaimanapun setakat ini, Mesir dan Jordan belum mengesahkan secara rasmi penyertaan mereka ke persidangan itu.

Sebelum ini, Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, telah mengaturkan pertemuan di Bahrain sebagai bengkel untuk meningkatkan ekonomi Palestin.

Washington menganggap penyertaan Mesir dan Jordan – iaitu negara Arab yang mempunyai perjanjian damai dengan Israel – penting kerana kedua-dua negara itu telah menjadi pemain utama dalam usaha perdamaian di Timur Tengah.

Sementara itu, rakyat Palestin percaya AS cuba melemahkan aspirasi Palestin dalam kebebasan, kemerdekaan dan kenegaraannya dengan menumpukan kepada aspek konflik ekonomi dengan Israel – sebagai agenda utama di Manama – berbanding isu politik.

Palestin menyatakan rancangan perdamaian Trump – yang kononnya disifatkan sebagai ‘kesepakatan abad ini’ – kemungkinan besar akan memihak kepada Israel dan menghapuskan aspirasi mereka untuk kenegaraan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close