Berita UtamaUtama

Klip video lucah: ‘Jelek dengan sikap berpolitik di takuk lama’

Skandal Azmin seperti sambut ulang tahun kes liwat 20 tahun lalu

BANGI, 9 Syawal 1440H, Khamis – Pergerakan Pemuda Berjasa menyelar tindakan jijik serta budaya politik kotor yang sedang berlaku, susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Pergerakan Pemuda Berjasa, Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, sama ada ia adalah fitnah daripada pihak lawan mahu pun komponen sendiri, budaya berpolitik seperti itu wajib ditolak seluruh rakyat Malaysia.

“20 tahun yang lampau negara digemparkan dengan kes liwat pemimpin negara, hasil percaturan orang-orang politik dahulu. Tahun ini, seolah-olah sambutan ulangtahun kes liwat pimpinan negara apabila satu lagi skandal liwat dicetuskan. 

“Sungguh jelek sikap orang politik yang masih kekal di takuk lama, bermain sentimen bodoh dan jijik ini untuk menjatuhkan satu sama lain. Seandainya orang muda, ahli-ahli parti yang terbabit masih tidak kisah dengan tindakan seperti ini, tidak mustahil parti politik anda akan terkubur lantaran kebejatan moral dalam tindak-tanduk kalian,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, seorang lelaki tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terbabit dalam klip video aksi seks sejenis yang tersebar bersama Mohamed Azmin.

Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz, lelaki itu mendakwa video berkenaan dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Bagaimanapun, dia meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Azmin atas tuduhan korupsi dan menyifatkannya sebagai individu yang tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin. 

Penyebaran itu dipercayai ada kaitan dengan persaingan politik dalaman PKR dan ramai pemerhati politik percaya ia adalah konspirasi tertinggi pucuk pimpinan parti berkenaan walaupun ia dinafikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut perkara itu, Iqbal Hakim menggesa pihak-pihak yang terbabit di sebalik isu berkenaan untuk menghentikan budaya kotor dalam berpolitik.

“Hindari ia daripada terus membarah dalam masyarakat. Sesungguhnya tindakan kalian sangat durjana dan merosakkan negara.

“Inilah peri pentingnya bagi rakyat dan juga ahli parti-parti politik terutamanya daripada kalangan orang muda untuk menilai dan memilih pemimpin-pemimpin yang berwibawa, bebas daripada sebarang skandal serta punya rekod perkhidmatan dan peribadi yang baik. Terutama sekali untuk orang Melayu dan muslim,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha membina Malaysia baharu yang aman sejahtera, pihaknya menggesa rakyat Malaysia terutamanya ahli politik untuk melakukan perubahan dengan mengamalkan budaya politik sihat bermula daripada sekarang.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close