Berita UtamaUtama

Keputusan batal saman Tanah Wakaf Abdul Cauder 1 Ogos

Isu tanah wakaf perlu dimulakan di Mahkamah Syariah: Hujah peguam

GEORGETOWN, 9 Syawal 1440H, Khamis – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Ogos depan bagi membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak permohonan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi membatalkan saman pemula yang difailkan Muhamad Amin Abdul Rahman berhubung Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang di Butterworth.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Amarjeet Singh turut menetapkan tarikh yang sama untuk keputusan bagi permohonan Setiausaha Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Pendaftar Hak Milik Tanah/Pentadbir Tanah Daerah untuk membatalkan saman pemula plaintif.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan tarikh sama untuk keputusan permohonan plaintif bagi Lampiran 1 iaitu saman pemula dan Lampiran 5 yang adalah permohonan injunksi.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujahan MAINPP selaku defendan pertama serta Setiausaha Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Pendaftar Hak Milik Tanah/Pentadbir Tanah Daerah masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga untuk membatalkan saman pemula itu berikutan kes itu sebelum ini dikendalikan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Peguam Mohamad Aslam Mohamad Mydin yang mewakili MAINPP dalam hujahannya berkata pihaknya mengemukakan permohonan itu atas alasan plaintif tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sini undang-undang) selain Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu.

“Plaintif mempertikaikan keesahan status tanah wakaf tersebut. Hanya Mahkamah Syariah yang boleh mendengar kes ini. Isu tanah wakaf hendaklah dimulakan di Mahkamah Syariah,” katanya.

Peguam Ayu Rohaiza Khazali yang mewakili defendan kedua dan ketiga turut menyatakan alasan yang sama bahawa plaintif tidak mempunyai ‘locus standi’.

Sementara itu, peguam plaintif Ku Abdul Rahman Ku Ismail ketika ditemui pemberita berkata isu yang dibangkitkan dalam saman pemula itu adalah berkaitan Surat Ikatan Amanah dan bukannya isu tanah wakaf.

“Kalau ikutkan isu yang dibangkitkan oleh defendan-defendan tanah ini adalah tanah wakaf. Tetapi untuk fail ke Mahkamah Tinggi kami tak bangkitkan isu tanah wakaf. Ia adalah berkaitan Surat Ikatan Amanah yang mana di bawah Akta Pemegang Amanah, bukan tanah wakaf.

“Apa yang dihujahkan oleh pihak-pihak defendan untuk membatalkan saman kami alasan bahawa isu tanah wakaf tak timbul sebenarnya, sebab itu kami failkan di Mahkamah Tinggi Sivil. Untuk isu berkaitan Jabatan Mufti dan Pejabat Tanah dan Galian kami akan kemukakan ke Mahkamah Syariah nanti,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Muhamad Amin selaku plaintif memfailkan saman pemula itu terhadap MAINPP, Setiausaha Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Pendaftar Hak Milik Tanah/Pentadbir Tanah Daerah dan menamakan mereka sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Dalam permohonannya, Muhamad Amin memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah waris sah terhadap harta pusaka Kavana Ebrahim @ Burong, yang juga pemilik Tanah Wakaf Abdul Cauder, yang mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan terhadap defendan-defendan itu.

Muhamad Amin turut memohon satu pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 8 Disember 2012 berdasarkan kertas cadangan yang disediakan oleh defendan pertama adalah tidak sah dari awal dan digantung pelaksanaannya.

Plaintif juga memohon satu perisytiharan bahawa hartanah yang dinyatakan dalam Surat Ikatan Amanah bertarikh 17 Ogos 1892 hendaklah dikembalikan kepada pusaka Kavana Ebrahim @ Burong dan didaftarkan atas nama plaintif sebagai pemegang amanah ke atas hartanah tersebut.

Beliau turut memohon satu pengisytiharan bahawa MAINPP tidak mempunyai locus standi untuk melakukan apa-apa tindakan terhadap plaintif dan penduduk-penduduk yang tinggal dalam hartanah tersebut kerana defendan pertama bukan pemilik berdaftar ke atas hartanah itu.

Menerusi permohonannya juga, plaintif turut meminta pengisytiharan defendan ketiga telah melakukan kesilapan menolak kaveat persendirian yang dimasukkan oleh plaintif ke atas hartanah itu dengan alasan bahawa plaintif bukan waris dan tiada kepentingan ke atas hak milik hartanah tersebut. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close