Berita UtamaDuniaIstimewaPalestinUtama

Israel bom Semenanjung Gaza

Roket, belon dan layang-layang berapi dilepaskan ke arah Israel

GAZA, 9 Syawal 1440H, Khamis – Pesawat rejim pengganas Israel hari ini, mengebom benteng pertahanan yang didakwa kubu Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), susulan roket yang dilancarkan ke arah wilayah yang didudukinya.

Pada masa sama rejim Zionis itu turut mengharamkan aktiviti penangkapan ikan di perairan Semenanjung Gaza, selepas puluhan belon dan layang-layang berapi dilepaskan dari wilayah terkepung itu.

Dalam serangan pertama sejak awal Mei lalu, pesawat rejim Zionis menyasarkan kemudahan bawah tanah Hamas di selatan Semenanjung Gaza, tetapi tiada laporan kecederaan atau kematian dilaporkan.

Serangan itu dibuat selepas rejim Israel mendakwa sistem pertahanannya memintas roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza – yang pertama dilakukan selepas ‘perang’ dua hari pada awal Mei lalu yang menyebabkan 25 rakyat Palestin dan empat warga Israel terbunuh.

Kelmarin, rejim Zionis mengumumkan pengharaman aktiviti penangkapan ikan di perairan Semenanjung Gaza susulan tindakan rakyat Palestin yang melepaskan belon dan layang-layang berapi ke arah wilayah diduduki.

“Berikutan pelancaran belon dan layang-layang berapi dari Semenanjung Gaza yang dilakukan secara berterusan, Israel memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti penangkapan ikan di kawasan maritim wilayah terkepung itu,” kata Kementerian Pertahanan Israel.

Jurucakap perkhidmatan bomba Israel berkata, belon dan layang-layang berapi itu menyebabkan tujuh kebakaran pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, penggunaan belon dan layang-layang itu bergantung kepada arah tiupan angin yang datang dari Mediterranean ke selatan Israel.

Layang-layang berapi itu mula digunakan pemuda Palestin pada 13 April 2018, dan kini menjadi senjata efektif dalam menentang rejim pengganas Israel, sebelum belon digunakan.

Layang-layang berapi itu dilengkapi dengan ‘molotov cocktail’ di bahagian ekornya yang juga berfungsi sebagai penstabil, dan dilancarkan ke udara sama seperti layang-layang biasa.

Layang-layang itu kemudian akan terbakar dan apabila mencapai sasarannya, ia akan jatuh dan mencetuskan kebakaran.

Layang-layang dan belon berapi dari Semenanjung Gaza kini menjadi igauan buruk buat rejim pengganas Israel kerana boleh mencetuskan kebakaran apabila jatuh di kawasan pertanian, terutama di ladang gandum. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close