Berita UtamaUtama

Beli helikopter: Kementerian Pertahanan lapor SPRM

Pembelian aset tentera dibuat tanpa melalui prosedur sepatutnya

PUTRAJAYA, 9 Syawal 1440H, Khamis – Kementerian Pertahanan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta pada 2015 yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.

Laporan itu dibuat oleh wakil Kementerian Pertahanan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Sumber Kementerian Pertahanan berkata, helikopter tempur ringan MD530G keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas itu sepatutnya diterima dalam dua fasa iaitu dua buah pada Julai 2017 dan selebihnya pada Disember 2018.

Katanya, terma-terma perjanjian pembelian itu sangat cuai dalam menjaga kepentingan kerajaan antaranya dinyatakan ‘kontrak berlaku selama dua tahun atau sehingga syarikat tempatan yang dilantik sebagai ejen berjaya membuat penghantaran helikopter berkenaan.’

Sumber itu berkata, pembelian aset tentera itu juga yang diluluskan pada November 2015 dibuat tanpa melalui prosedur sepatutnya.

“Kontrak itu dibuat secara rundingan terus dengan syarikat ejen sedangkan banyak terma kontrak merugikan kerajaan antaranya kontrak diluluskan dalam keadaan tiada spesifikasi ketenteraan, satu perkara wajib dalam pembelian aset tentera,” kata sumber itu.

Katanya, McDonnel Douglas juga telah membatalkan kontrak syarikat tempatan itu sebagai ejennya di Malaysia ketika perjanjian pembelian helikopter itu ditandatangani.

Sumber itu berkata, kerajaan Malaysia juga telah membayar sebanyak RM112.65 juta iaitu 35 peratus daripada kos keseluruhan pembelian aset itu kepada syarikat terbabit. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close