Berita UtamaUtama

Bapa elak sekatan polis, anak sembilan tahun jatuh lori

Lelaki bergelut dengan anggota polis, cuba rampas pistol

IPOH, 9 Syawal 1440H, Khamis – Seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun terselamat selepas terjatuh daripada sebuah lori yang dikejar polis di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata, lori yang dipandu ayah kanak-kanak itu cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya Ops Selamat 15 di Jalan Sultan Nazrin Shah menghala ke bandar raya, kira-kira jam 4.30 petang.

Beliau berkata, ketika sekatan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Ipoh itu, sebuah lori jenis Daihatsu tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ dan cuba melarikan diri.

“Dua anggota trafik yang bertugas mengejar dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan, tetapi enggan dan terus memandu secara laju serta berbahaya.

“Ketika proses mengejar, seorang kanak-kanak terjatuh daripada lori. Pemandu memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke dalam sebuah restoran di Taman Soon Choon,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, ketika proses menangkap telah berlaku pergelutan dan pemandu berkenaan cuba merampas senjata api anggota polis sebelum berjaya ditangkap atas bantuan orang awam.

“Proses menangkap ini telah dirakam dan ditularkan oleh orang awam,” katanya.

Mohd Ali berkata, suspek lelaki itu yang berumur 37 tahun dari Tanjung Tualang mempunyai enam rekod kesalahan lampau termasuk mencuri kenderaan dan berkaitan dadah.

Katanya, suspek juga memiliki satu waran tangkap trafik dan tangkapan kali ini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987; Seksyen 186 Kanun Keseksaan; Seksyen 26 (1) APJ 1987 dan Seksyen 15(1)(a) APJ 1987.

Mengenai kanak-kanak perempuan itu, Mohd Ali berkata, dia hanya mengalami luka ringan dan telah dihantar balik ke rumahnya di Gopeng oleh anggota polis. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close