Berita Utama

4 mayat orang asli ditemukan

Mayat pertama ditemukan dalam keadaan tulang berselerak

KOTA BHARU, 9 Syawal 1440H, Khamis – Tiga lagi mayat Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, ditemui petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini empat mayat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tiga mayat yang ditemui itu adalah dua lelaki dan seorang perempuan.

Beliau berkata, ketiga-tiga mayat itu ditemui kira-kira pukul 4.30 hingga 5 petang semalam iaitu selepas penemuan mayat pertama sebelum itu.

“Mayat pertama yang ditemui dipercayai mayat Din Hamdan, 18 tahun, manakala tiga yang lain dipercayai Safia Papan, 18, Fayah Papan, 19, dan Jais Keladi, 55.

“Mayat pertama ditemui di bawah pokok dalam keadaan tulang berselerak manakala tiga lagi mayat ditemui masih di atas para di atas pokok dan ditutup dengan tikar,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, kesemua mayat itu akan dibawa keluar oleh Bahagian Forensik pada hari ini untuk pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kematian.

Bagaimanapun, beliau berkata, proses mengeluarkan mayat berkenaan akan mengambil masa kerana pihak berkuasa perlu mengambil kira adat Orang Asli dan bila masa yang sesuai untuk dibawa keluar mayat.

Mengenai penemuan mayat terbaharu itu, Hasanuddin berkata, mayat Safia ditemui 600 meter daripada penemuan pertama manakala mayat Fayah kira-kira 112 m daripada Safia.

“Kita percaya Safia dan Fayah adalah adik beradik kerana jarak mayat ketika ditemui adalah berdekatan.

“Satu lagi mayat iaitu Jais ditemui enam kilometer daripada mayat pertama. Setakat ini kawasan mayat ditemui sudah ditanda dan menunggu masa untuk dibawa keluar,” katanya.

Beliau berkata, proses pencarian akan diteruskan hari ini dengan dibantu oleh Orang Asli yang sangat arif dengan kawasan berkenaan dan kepakaran mereka akan digunakan sepenuhnya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close