Berita UtamaUtama

Syazlin sangkal dakwaan Tommy

Lantikan tak perlu fiat kerana bukan dilantik kendali prosiding inkues

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 8 Syawal 1440H, Rabu – Syazlin Mansor menyangkal dakwaan Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa lantikannya sebagai peguam mewakili tiga pihak berkepentingan – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim – mempunyai konflik kepentingan.

Beliau dalam sidang media hari ini menegaskan, tidak wujud konflik kepentingan kerana tidak pernah timbul isu untuk keluarga Muhammad Adib menyaman KPKT dan JBPM.

Ini kerana, katanya, teori Allahyarham dilanggar oleh bomba adalah teori yang tidak berasas – dibuat oleh pihak yang tidak terbabit dalam prosiding inkues ini. 

“Tiada asas untuk keluarga mempercayai bahawa arwah dilanggar oleh bomba. Dalam keterangan di mahkamah juga, ayah arwah Adib sendiri menyatakan Adib gembira apabila menerima kunjungan daripada rakan-rakan anggota yang turut bertugas bersama beliau pada malam kejadian, sewaktu Adib terlantar di hospital.

“Sekiranya Adib benar-benar dilanggar oleh rakan-rakan beliau ini, adakah Adib akan gembira menerima kunjungan mereka di hospital?,” soalnya.

Pada masa sama, Syazlin menegaskan bahawa keluarga arwah dan JBPM berkongsi pendapat yang sama dan menolak teori yang dibuat oleh pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Keluarga arwah dan JBPM pada bila-bila masa tidak berada dalam keadaan kepentingan yang bertentangan. Saya percaya perkara ini juga telah disahkan oleh keluarga arwah Adib seperti mana yang dilaporkan oleh media,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Tommy Thomas berkata, Syazlin digugurkan kerana mempunyai percanggahan kepentingan kerana mewakili tiga pihak sekali gus, iaitu KPKT, JBPM dan keluarga Adib.

Dakwanya, Syazlin mengambil kedudukan yang bercanggah sebagai Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai yang menjalankan prosiding. 

Perkara ini memalukan beliau atas kapasitinya sebagai peguam mewakili Kementerian, kata Tommy. 

Dakwaan tiada Fiat (Kelulusan Bertulis Peguam Negara)

Mengulas lanjut, Syazlin berkata, merujuk kepada Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah, lantikannya tidak memerlukan fiat (kelulusan bertulis) daripada Tommy berikutan beliau hanya dilantik sebagai menjadi pihak berkepentingan dan bukan untuk mengendalikan inkues.

“Seperti mana yang kita sedia maklum, prosiding inkues kematian Adib ini dikendalikan oleh pegawai pengendali yang juga Timbalan Pendakwa Raya dan bukannya dikendalikan oleh saya.

“Oleh itu, saya tidak memerlukan fiat untuk dilantik mewakili pihak-pihak berkepentingan itu. Adalah betul tindakan menteri dalam melantik saya sebagai peguam mewakili KPKT dan JBPM. Menteri tidak perlu sama sekali mendapatkan kelulusan dan kebenaran Peguam Negara dalam hal ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin melantiknya dan bukan Timbalan Pendakwa Raya, adalah satu tindakan jelas membuktikan menteri mahukan kebenaran di dalam prosiding inkues.

“Sekiranya KPKT dan JBPM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya dari awal lagi, sudah tentu Prof Dr Shahrom tidak akan dipanggil sebagai saksi inkues dan beberapa bukti keterangan material yang membantu inkues ini tidak akan timbul. 

“Apakah fungsi inkues dijalankan sekiranya semua pihak bersetuju sahaja dan tidak mempersoalkan hasil dapatan dan teori yang dibuat oleh pakar HKL?,” katanya.

Bulan lalu, Pakar Forensik Patologi Hospital HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi mempertahankan teorinya bahawa Adib, keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) walaupun tiada saksi melihat tindakan itu.

Saksi ke-24 itu memberitahu Mahkamah Koroner, ia berdasarkan hasil bedah siasat dilakukannya yang tidak menemui sebarang elemen menunjukkan Muhammad Adib ditarik dari van EMRS terbabit.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close