Berita UtamaUtama

Azmin nafi terbabit video lucah

Tuduhan bermula beberapa bulan lalu, pelaku bakal dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR, 8 Syawal 1440, Rabu – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu yakin siri fitnah berkenaan adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian, serta memusnahkan karier politiknya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya ‘gutter politics’. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni,” katanya.

Azmin berkata, beliau telah mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Menteri itu akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terbabit dalam kerja jahat itu.

Beliau yakin kerja jijik berkenaan telah dimulakan beberapa bulan lalu, berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan, serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak, dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close