Berita Utama

Sanusi utus warkah permohonan maaf kepada Sultan Selangor

Perjelas konteks, maksud sebenar ucapan dalam ceramah diputar belit

KUALA LUMPUR, 26 Zulhijjah 1444H, Sabtu – Bagi tidak mengeruhkan lagi keadaan, Menteri Besar Kedah mengambil pendirian membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan yang didakwa menghina Institusi Kesultanan Selangor.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, warkah berkenaan bertujuan memberi penjelasan sebenar berkaitan ceramah yang disampaikan di atas dakwaan mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

“Saya sudah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang sengaja diputar belit itu.

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memaparkan surat berkenaan di laman sosial untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana.

Sanusi berkata, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor sudah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah itu, semalam.

Beliau juga mengakui telah memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan ke atas laporan yang dibuat beberapa pihak sebelum ini.

“Berkaitan itu juga saya sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman pada jam 2 semalam untuk melengkapkan siasatan ke atas laporan yang dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan lain-lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button