Berita UtamaUncategorizedUtama

Jahatnya ultra kiasu musuhi Zakir Naik: Ridhuan Tee

Kenapa senyap bila pemimpin sendiri sokong pengganas LTTE?

BANGI, 7 Syawal 1440H, Selasa – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah hairan terhadap sikap ultra kiasu yang bersungguh mahukan pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India, sedangkan mereka tinggal di Malaysia.

Menyelar tindakan puak berkenaan, beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia, ultra kiasu sepatutnya mengikut apa yang dikata pemimpin tertinggi negara, termasuk pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak tunduk kepada permintaan India mengekstradisi Zakir.

Semalam, perdana menteri membandingkan status Zakir dengan permohonan Malaysia terhadap Australia berkenaan ekstradisi Sirul Azhar Umar, yang disabit atas kesalahan bunuh.

Kenyataan Dr Mahathir itu bagaimanapun disanggah oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang menyifatkan bahawa keadaan Zakir dan Sirul berbeza.

Ramkarpal dilaporkan berkata, Sirul telah disabit bersalah oleh mahkamah di Malaysia atas tuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sedangkan Zakir yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram belum dibicarakan.

Membidas kenyataan Ramkarpal itu, Ridhuan Tee mempersoalkan adakah Zakir sudah terbukti terbabit dalam pengubahan wang haram seperti yang didakwa.

“Zakir Naik tidak akan mendapat keadilan jika dihantar balik ke India. Saya begitu hairan dengan ultra kiasu yang mahukan Zakir dihantar ke India. Ultra kiasu ini tinggal di Malaysia atau India? Jika di Malaysia ikutlah apa kata pemimpin tertinggi negara, jika tidak baliklah kamu ke India.

“Jelas sekali betapa jahatnya ultra kiasu apabila sesuatu isu yang tidak menyebelahi mereka, tetapi menyebelahi Islam, maka ia akan ditentang habis-habisan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Serentak itu, beliau menggesa seluruh umat Islam supaya dapat mengenal warna kulit sebenar dan perancangan busuk ultra kiasu yang memusuhi Islam.

Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi dan politik juga digesa untuk menyokong pendirian tegas Dr Mahathir berhubung isu itu.

“Zakir Naik ialah rakyat India yang dikehendaki kerajaan negara itu atas dakwaan menaja keganasan serta pengubahan wang haram. Tetapi, Zakir Naik menafikan dakwaan tersebut, hanya ultra kiasu sahaja yang percaya kerana mereka adalah musuh Islam.

“Saya menjadi hairan kenapa ultra kiasu ini menjadi senyap apabila ada pemimpin sebangsa mereka secara terang-terangan menyokong perjuangan LTTE di India. Kumpulan LTTE ini jauh lebih bahaya daripada Zakir Naik. Beliau hanya seorang, tetapi gerakan LTTE ini ramai dan lebih bersifat subversif,” katanya.

Sebelum ini, Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dilaporkan dalam usaha mendapat waran tangkap antarabangsa terhadap Zakir yang kini tinggal di Malaysia.

Beliau dikehendaki pihak berkuasa untuk menjalani perbicaraan yang sedang berlangsung di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002 negara itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close