Berita UtamaUncategorizedUtama

Orang asli: ‘Jangan sampai 50 mati baru kata isu nasional’

Muafakat desak kerajaan Pusat, negeri pandang serius kes Kuala Koh

BANGI, 6 Syawal 1440H, Isnin – 14 kes kematian membabitkan penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang dipercayai akibat jangkitan kuman di saluran pernafasan, bukan perkara remeh, bahkan sepatutnya menjadi isu nasional.

Demikian tegas Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Haji Rashidi Haris, mengulas isu air tadahan bukit dan sungai yang didakwa tercemar, dipercayai menjadi punca 14 orang asli meninggal dunia dan 83 yang lain dirawat.

Beliau mempersoalkan peranan beberapa kementerian yang sepatutnya bertanggungjawab menangani isu berkenaan apabila hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) sahaja dilihat muncul memantau masalah itu.

“Rakyat harus tahu akan perkara ini, ianya bukan lagi perkara yang remeh-temeh seperti isu anak Mat Sabu terlibat dalam penyalahgunaan dadah, atau cadangan supaya kerajaan menanam pokok ganja, atau galakkan supaya rakyat minum minyak kelapa sawit, atau pun siapa bakal jadi CEO TMNet yang terbaru?

“Ini isu yang melibatkan nyawa rakyat dan telah pun berlaku kematian, dan apakah kerana yang jadi mangsa itu orang Asli maka cukup sekadar ditangani oleh Menteri dari Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional sahaja, padahal ianya melibatkan pencemaran yang mengancam kesihatan rakyat persekitarannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, alasan terkawal dan tidak merebak adalah hujah dangkal bagi menutup kelemahan kerajaan dalam menangani isu pencemaran yang dilihat semakin kritikal.

“Janganlah sampai 50 orang sudah mati baru dikatakan ianya berbahaya. Sepatutnya kerajaan lebih peka akan perkara pencemaran ini, mencegah lebih baik daripada menanganinya,” katanya.

Serentak itu, Rashidi berkata, sebagai NGO Islam, Muafakat mendesak kerajaan Pusat dan negeri Kelantan supaya memandang serius perkara berkenaan.

Katanya, semua pihak yang terbabit harus bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi isu itu secepat mungkin, tanpa mempedulikan perbezaan politik serta kaum.

“Muafakat melihat tragedi ini sebagai isu nasional yang mesti ditangani dengan segera. Dan kerajaan juga harus bertindak tegas terhadap mana-mana kumpulan, syarikat dan kilang yang terbabit yang menjadi punca kepada pencemaran ini.

“Ini termasuk mereka yang meluluskan lesen dan mengabaikan aspek prosedur dan piawaian keselamatan pengilangan juga harus dikenakan tindakan setegas-tegasnya. Integriti itu bukan hanya pada kewangan tetapi termasuk juga tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat dan alam sekitar,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close