AfrikaBerita UtamaDuniaUtama

Demonstrasi fasa baharu Sudan bermula, empat lagi terbunuh

Pengingkaran awam bertujuan melumpuhkan negara bermula semalam

KHARTOUM, 6 Ramadan 1440H, Isnin – Sekurang-kurangnya empat lagi warga Sudan terbunuh apabila pasukan keselamatan negara itu melepas tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ketika menyuraikan penunjuk perasaan yang memasang sekatan jalan raya di sekitar bandar ini, semalam.

Empat orang terbunuh pada hari pertama demonstrasi ‘pengingkaran awam’ menolak pemerintahan tentera, kata kumpulan doktor yang bersekutu dengan penunjuk perasaan.

Pembunuhan semalam berlaku selepas beberapa hari pasukan keselamatan di bawah Majlis Peralihan Tentera (TMC) menggempur penunjuk perasaan menyebabkan lebih 100 maut dan 500 lagi cedera.

Pada masa sama, pasukan keselamatan turut menahan beberapa pegawai bank, kakitangan lapangan terbang dan pekerja elektrik kerana menyertai tunjuk perasaan semalam.

Kebanyakan pusat perniagaan di Khartoum ditutup mulai semalam, dalam fasa baharu demonstrasi membantah pemerintahan tentera di Sudan.

Pergerakan Profesional Sudan (SPA) berkata, kakitangan kerajaan juga diugut oleh pihak keselamatan bagi menakutkan mereka daripada menyertai tunjuk perasaan itu.

Sementara itu, pemimpin demonstrasi mengarahkan anak muda Sudan menggunakan taktik membina sekatan dan penghadang di jalan-jalan utama di ibu negara Sudan itu dan kemudian lari.

“Penghadang itu adalah pengawal anda,” kata SPA sambil menggesa lebih banyak penghadang daripada batu-bata dan tayar kenderaan diletakkan di tengah jalan di sekitar bandar ini.

‘Pengingkaran awam’ adalah fasa baharu demonstrasi bagi melumpuhkan ‘kehidupan’.

Demonstrasi fasa baharu itu mula berkuat kuasa semalam, dengan pusat perniagaan dan bank ditutup, sementara penerbangan komersial pula dibatalkan, dan operasi di pelabuhan juga digantung. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close