Artikel

Perpaduan Melayu kita impikan

Merempatnya orang Melayu pada hari ini bukan kerana mereka malas tetapi sikap pemimpin ‘melihat kuasa sebagai segala-galanya'

APABILA ISMA memperkatakan Perpaduan Melayu dengan slogan ‘MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT’, ramai pihak yang membantah.

Tak kurang juga yang mengatakan ISMA rasis.

Tetapi akhbar baru-baru ini memaparkan kenyataan mengenai kebimbangan Sultan Selangor terhadap perpecahan orang Melayu yang dianggap sudah sampai tahap kritikal. Saya tak pasti adakah masih ada yang berani nak kata bahawa seruan Sultan agar Melayu bersatu ini adalah bersifat perkauman?

Kenyataan Sultan Selangor ini membuktikan bahawa isu perpaduan orang Melayu tidak ada kena mengena langsung dengan isu perkauman. Ia sekadar seruan untuk memastikan bahawa orang Melayu dapat terus hidup bersaing dengan bangsa lain dan menikmati segala hasil mahsul yang ada dalam negara. Bak kata pepatah, berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa lain.

Sangatlah pelik jika golongan majoriti menanggung segala keperitan walhal golongan minoriti mengaut segala kemewahan. Namun semua ini akan hanya menjadi omongan kosong jika orang Melayu masih gagal untuk bersatu padu.

Apa yang kita maksudkan sebagai ‘Perpaduan Melayu’?

Nah, apabila kita berkata mengenai perpaduan orang Melayu, individu umum akan melihatnya dari aspek:-

1. Pengabungan parti politik Melayu
2. Bermatlamatkan untuk mendapat kuasa

Kedua-dua pandangan ini tidak salah tetapi separuh benar. Bagi saya, pemimpin-pemimpin Melayu di pelbagai peringkat harus melihat perkara ini daripada perspektif yang lebih besar dan luas lagi.

Pertama, pengabungan parti politik Melayu.

Sebahagian besar masyarakat Melayu beranggapan bahawa perpaduan ini terhenti setakat di peringkat parti politik, iaitu perpaduan atau kerjasama antara parti politik; terutama PAS dan UMNO selaku dua tonggak parti orang Melayu.

Nota: Saya tidak nampak Bersatu dan PAN mempunyai kekuatan seperti PAS dan UMNO dalam konteks politik orang Melayu.

Akhirnya seruan mereka hanyalah sekadar untuk membawa rakyat menyokong parti masing-masing walhal di luar sana ada jutaan orang Melayu yang tidak berminat dan tidak mahu pun terbabit dengan mana-mana parti politik.

Mereka ini seperti NGO, ketua-ketua masyarakat, ulama-ulama, guru-guru pondok, golongan professional, generasi muda, ahli-ahli perniagaan, orang perseorangan dan lain-lain. Malah sebahagian daripada mereka ini sudah meluat dengan retorik parti yang sekadar mahu undi mereka.

Pemikiran ahli politik Melayu harus merentasi isu parti dengan mengambil kira semua orang Melayu daripada pelbagai latar belakang dan kepentingan. Dalam erti kata lain, agenda pemimpin Melayu daripda mana-mana parti semestinya membawa bisikan setiap denyutan nadi dan isi hati orang Melayu secara keseluruhannya.

Ia harus inklusif bukan eksklusif. Barulah seruan itu nanti akan lebih menyeluruh dan benar-benar lahir daripada rintihan rakyat. Maka, manifesto yang dikemukakan nanti akan menterjemahkan keperihatinan terhadap setiap lapisan masyarakat Melayu.

Saya berkata demikian kerana banyak situasi, perkara dan aspek yang ‘golongan yang ditinggalkan’ ini nampak apa yang ahli politik tidak nampak. Hal ini demikian kerana negara ini kita masih mengamalkan sistem politik kepartian bukan politik kenegaraan, di mana kedudukan di dalam parti itu lebih penting daripada keadaan rakyat. Ini bercanggah dengan konsep Siyasah Syariah yang melihat politik itu melangkaui politik kepartian semata tetapi seluruh sistem kehidupan.

Kedua, bermatlamatkan kuasa semata-mata

Umum juga memahami bahawa tujuan perpaduan Melayu adalah untuk mencapai kuasa dan dengan kuasa inilah segala impian dan seruan mereka kepada rakyat akan dapat mereka laksanakan. Maknanya mendapatkan kuasa adalah agenda setiap parti politik.

Tidak ada salahnya di situ, kerana memang tujuan menubuhkan dan menyertai parti politik adalah untuk mendapatkan kuasa.

Persoalannya, apa yang mereka mahu buat selepas mendapat kuasa? Dalam realiti hari ini sistem politik negara mengamalkan apa yang di sebut sebagai ‘winners take all’. Ertinya parti yang berjaya memegang kuasa akan mengaut segala kedudukan dan hasil mahsul negara serta mengenepikan pihak pembangkang sepenuhnya. Jika boleh, mereka mahu melumpuhkan terus kekuatan pembangkang walaupun mereka adalah seagama dan sebangsa.

Sebab itu, demi mencapai kuasa mereka akan berbuat apa saja termasuk bersekongkol dengan pihak yang menentang perjuangan Melayu itu sendiri. Walaupun mereka mengungkapkan pejuangan Melayu di bibir mereka, tetapi pada hakikatnya tidak.

Merempatnya orang Melayu pada hari ini bukannya kerana mereka malas tetapi kerana sikap pemimpin yang ‘melihat kuasa sebagai segala-galanya’. Walaupun sejak merdeka, negara dipimpin oleh orang Melayu tetapi sebenarnya yang kaya hanyalah kroni-kroni politik.

Habis, bentuk perpaduan yang bagaimana yang kita kehendaki?

Perpaduan yang kita kehendaki adalah perpaduan melangkaui kedua-dua blok pemikiran di atas.

Perpaduan Melayu yang kita kehendaki adalah PERPADUAN PRINSIP bukan hanya perpaduan fizikal atau kekuasaan posisi semata-mata.

Ertinya, mereka boleh berbeza ideologi politik tetapi mengenai perkara-perkara prinsip, mereka harus bersepakat. Mereka boleh berentap di arena politik, di atas pentas-pentas, di ruang-ruang media dan sebagainya tetapi mereka wajib bersama apabila menyentuh soal PRINSIP dan DASAR.

Pesoalannya, apakah PRINSIP dan DASAR yang harus disepakati? Bagi saya mudah sahaja iaitu :-

1. Islam
2. Melayu
3. Raja

Sudah pasti huraiannya panjang dan tak dapat saya nukilkan di sini tetapi inilah sebenarnya yang mendasari pemikiran dan keabsahan orang Melayu.

Ini jugalah kegagalan pemimpin parti orang Melayu semenjak merdeka lagi. Tidak ada yang berani mempertahankan Malaysia sebagai Negara Islam, tanah rizab Melayu semakin dihakis, Raja-Raja Melayu pula semakin dihina tetapi dibiarkan sahaja.

Semua ini adalah antara contoh perkara prinsip yang pemimpin Melayu sedang dan terus berselisihan.

Jika perkara ini dapat disepakati, maka sebenarnya kita tidak kisah siapa dan parti mana (asalkan Melayu dan Islam) yang menerajui negara kerana kita tahu Islam, Melayu dan Raja-Raja akan tetap terpelihara. Musuh juga tidak akan berani memperlekehkan orang Melayu.

Orang Melayu tidak takut kepada ‘perpecahan’ walaupun ada 100 parti baharu ditubuhkan kerana mereka tahu apabila menyentuh soal-soal utama ini mereka akan bersolidariti bersama di dalam Parlimen mahupun di luar Parlimen.

Inilah perkara-perkara yang mesti diwacanakan secara terus-terang, tulus dan mulus di kalangan pemimpin Melayu, bukannya berlumba-lumba untuk menjatuhkan satu sama lain secara TOTAL.

Jika tidak ada pihak yang sanggup menjadi pemudah cara, biarlah ISMA yang mengemudikan perbincangan pemikiran baharu perpaduan Melayu. Setuju?

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close