Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Hamas kutuk duta AS sokong Zionis duduki Tebing Barat

Kenyataan Friedman seiring cita-cita ekstremis sayap kanan Israel

GAZA, 5 Syawal 1440H, Ahad – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengutuk kenyataan duta negara pembuli Amerika Syarikat (AS), David Friedman bahawa Israel berhak mengambil ruang tambahan di Tebing Barat yang diduduki secara haram.

Jurucakap Hamas, Hazem Qasem berkata, kenyataan Friedman itu mengetengahkan pembabitan AS dalam tindakan penindasan rejim pengganas Israel dan menyasarkan isu Palestin.

“Kenyataan duta AS seiring dengan visi kumpulan ekstremis sayap kanan Israel, dan ia menunjukkan AS tidak menghormati negara-negara Arab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kenyataan Friedman itu juga menyingkap sebahagian daripada visi Presiden Donald Trump untuk menghancurkan isu Palestin yang perlu dihadapinya, tatkala rakyat Palestin kekal bersatu dalam pendirian mereka.

Semalam, Friedman dalam temu bual disiarkan akhbat New York Times berkata, Israel mempunyai hak untuk ‘memiliki’ beberapa kawasan di Tebing Barat.

“Beberapa tahap penggabungan Tebing Barat akan disahkan dan diperakui. Dalam keadaan tertentu, saya rasa Israel mempunyai hak mengambil beberapa – tidak mungkin semua – kawasan di Tebing Barat,” katanya.

Setiausaha Agong Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat berkata, apa sahaja polisi seperti itu akan sama dengan pembabitan AS dalam rancangan penjajah Israel.

Pembentukan negara Palestin yang di dalamnya termasuk Tebing Barat – wilayah yang diduduki rejim Zionis Israel sejak Perang Enam Hari pada 1967 – dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, menjadi fokus utama dalam pelan damai Timur Tengah.

Tetapi, tidak ada tarikh yang ditetapkan bagi pembentukan negara Palestin, sedangkan AS telah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sehingga kini, semua pihak di Palestin bersatu menolak pelan damai yang dicadangkan AS, kerana ia lebih memihak kepada rejim Israel. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close