Berita UtamaTULARUtama

VIDEO | Lelaki guna siren ditahan

Kereta , set siren dirampas, kes disiasat ikut Seksyen 21 Akta Polis 1967

BATU PAHAT, 4 Syawal 1440H, Sabtu -Seorang lelaki yang menggunakan siren polis untuk memudahkan perjalanannya meredah kesesakan lalu lintas di Parit Raja, di sini, petang Khamis (2 Syawal) sudah ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata, penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi semalam, susulan satu aduan awam yang dibuat pada 2.30 pagi hari sama.

Katanya, sebuah rakaman video yang menunjukkan kenderaan suspek menggunakan siren itu turut menjadi tular dalam media sosial sejak kejadian.

 

 

“Dalam penahanan itu, polis merampas sebuah kereta Proton Gen 2 yang digunakan suspek. Selain itu, satu set siren yang telah dipasang dalam kereta berkenaan turut ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 kerana kesalahan menghalang lalu lintas serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jika sabit dengan kesalahan halangan lalu lintas itu, suspek boleh didenda sebanyak RM200 atau dipenjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan menyamar penjawat awam, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah terutama di musim perayaan yang sering berlaku kepadatan serta kesesakan lalu lintas. – Bernama

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close