Berita UtamaIstimewaUtama

Usah buang masa melalak dan membawang: Bekas KP SPRM

Latheefa tiada pengalaman tapi pegawai terlatih untuk buat kerja

PUTRAJAYA, 4 Syawal 1440H, Sabtu – Berikan sokongan dan kepercayaan kepada Latheefa Koya untuk menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan melaksanakan tugasnya dengan terbaik, kata bekas Ketua Pesuruhjaya (KP) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau berkata, adalah membuang masa untuk melalak dan ‘membawang’ kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan mengenai pelantikan Latheefa sebagai KP SPRM yang baharu.

Katanya, beliau meletakkan kepercayaan kepada Latheefa untuk memimpin SPRM dengan baik dan melaksanakan tugas untuk negara.

“Berikan sokongan dan biarkan dia membuat kerjanya. Biar dia buat yang terbaik dan kemungkinan dengan tugas dia sebelum ini sebagai peguam, dia boleh bawa idea-idea korporat dan diganding dengan inisiatif kerajaan,” katanya dalam satu pertemuan dengan media di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana yang menjalankan tugas adalah pegawai-pegawai SPRM dan tugas KP SPRM adalah untuk menggerakkan.

“KP baharu walaupun tidak ada pengalaman dalam kerja SPRM tetapi pegawai yang akan buat kerja, dan pegawai-pegawai ini memang ini terlatih. So benda ini akan berjalan lancar,” katanya dalam satu pertemuan dengan media di sini hari ini.

Mohd Shukri turut menurunkan beberapa petua sebagai panduan bagi Latheefa untuk memimpin SPRM dengan baik iaitu “Do The Right Thing; Do It Right; Independent/Neutral/Impartial; Without Fear or Favour”.

“Jangan takut ditekan, jangan takut tekanan, jangan takut dibuang (kerja) sekalipun tetapi jangan tunduk kepada desakan. Kena ada ciri-ciri ini dan saya percaya beliau akan menjadi pemimpin yang baik,” katanya.

Latheefa dilantik sebagai KP SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Mengenai soal sama ada Latheefa bersifat ‘independent’ atau berkecuali, Mohd Shukri berkata:

“Tunggu. Tengoklah lepas ini. Bagi peluang kepada dia.”

Mohd Shukri berkata, beliau hanya mengetahui pelantikan Latheefa ketika menghadap Yang di-Petuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 4 Jun lalu.

Beliau mendedahkan ada mencadangkan nama penggantinya iaitu dua pegawai kanan SPRM, yang tidak didedahkan nama mereka, dalam satu suratnya bertarikh 6 Mac kepada Dr Mahathir.

“Saya beri Tun (Dr Mahathir) dua bulan untuk cari pengganti saya supaya proses (mencari pengganti) berjalan lancar,”katanya.

Ditanya bagaimana dengan penyatuan dalaman SPRM dengan lantikan Latheefa yang juga orang luar, Mohd Shukri berkata, beliau hanya boleh berdoa supaya pegawai terus bersatu padu untuk melaksanakan amanah mencegah rasuah dan salah guna kuasa demi negara dan rakyat.

“Sudah-sudahlah yang dahulu, ke depan ini bekerjasamalah kerana kita bekerja bukan untuk setakat SPRM tetapi untuk negara dan rakyat. Lupakan soal peribadi (isu), melihat dan bergerak ke hadapan,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close