Berita UtamaDr Ahmad Sanusi AzmiPendapatUtama

Ucapan raya promosi LGBT?

Kembali kepada fitrah, jangan cemari Aidilfitri dengan dosa

1. ADA yang bertanyakan kepada saya tentang ucapan hari raya yang diucapkan oleh aktivis LGBT ini. Ia adalah satu kenyataan yang bercanggah dengan syarak. Ini kerana Hari Raya Aidilfitri adalah sambutan bagi meraikan kemenangan manusia kembali kepada fitrah dalam menyucikan diri dari dosa, sedangkan promosi homoseksual itu adalah bertentangan dengan syariat Allah.

2. Tahukah anda bahawa kita membayar Zakat Fitrah adalah bagi menyempurnakan kekurangan puasa kita disebabkan dosa yang kita lakukan. Perkara ini dinyatakan oleh Ibn Abbas dalam sebuah hadith yang menyebutkan:

فَرَضَ رَسُولُ اللهِ زَكَاةَ الفِطرِ طُهرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغوِ وَالرَّفَثِ

“Rasulullah ﷺ mewajibkan Zakat Fitrah bagi menyucikan (kekurangan) orang yang berpuasa daripada melakukan perkara yang lagha (sia-sia) dan dosa perkataan tidak baik.” (HR Abu Daud)

3. Anehnya setelah kita membayar Zakat Fitrah dan berpuasa bagi membersihkan diri kita dari dosa, ada pula aktivis LGBT yang menyeru kita kembali kepada dosa pula? Bukankah ini bercanggah dengan syariat?

4. Bukan sahaja menyeru manusia kembali kepada dosa, ucapan aktivis LGBT ini jelas mengajak manusia kembali kepada perlakuan yang bercanggah dengan fitrah. Hubungan songsang ini adalah tindakan yang bertentangan dengan fitrah. Perkara ini dipersetujui oleh kebanyakan Mufti di Malaysia, antaranya ialah:

5. Mufti Wilayah. Ketika menjelaskan isu sebatan pasangan lesbian di Terengganu, Mufti Wilayah menegaskan bahawa fenomena normalisasi dosa LGBT ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan agama dan fitrah manusiawi. Justeru, mengapa di hari Aidilfitri ini aktivis LGBT ini menyeru kepada dosa? (Lihat: Bayan Linnas, no 148, 21 September 2018)

6. Mufti Perlis pula memerli tindakan kumpulan songsang ini sebagai bukan sahaja bertentangan dengan fitrah, malah “menghairankan binatang.” Kenyataan ini dikeluarkan ketika mengulas isu perarakan LGBT dalam sambutan Hari Wanita di Kuala Lumpur. (Astro Awani, 10 Mac 2019)

7. Mufti Selangor (pada 5 September 2018) pula, dilaporkan menyifatkan kumpulan ini sebagai satu penyakit mental bahkan menegaskan bahawa kewujudan mereka ini amat membimbangkan kerana bercanggah dengan fitrah. Sekali lagi, isu bercanggah dengan fitrah diungkapkan oleh Mufti. Anehnya, di Hari Aidilfitri ini aktivis LGBT mempromosi sesuatu yang bercanggah dengan fitrah pula.

8. Pada 12 Mac 2019, Mufti Penang menggesa supaya kumpulan LGBT ini ditangani dengan baik bagi mengembalikan mereka kepada fitrah. Kenyataan beliau jelas menggambarkan gerakan ini mempromosi sesuatu yang bertentangan dengan fitrah.

9. Mufti Pahang pula memberikan pandangan yang lebih tegas. Pada 14 Ogos 2018, beliau dilaporkan menegaskan bahawa tiada perbincangan mahupun kompromi seharusnya diberikan kepada golongan LGBT ini kerana ia jelas menentang hukum Allah SWT dan fitrah manusia.

10. Setelah sekian ramai Mufti di Malaysia menyifatkan hubungan songsang ini sebagai sesuatu yang bertentangan dengan fitrah, tiba-tiba aktivis LGBT ini berkata bahawa cinta songsang mereka ini adalah fitrah? Kenyataan ini jelas memanipulasi istilah agama bagi mempromosi perjuangan mereka. Apakah mereka penunggang agama juga?

11. Jelas bahawa perjuangan LGBT ini adalah bercanggah dengan syariat malah bertentangan dengan fitrah manusia. Jauhi diri anda dari melakukan sesuatu yang bercanggah dengan syarak. Jangan cemari Aidilfitri ini dengan promosi kepada dosa.

Moga Allah SWT mengampunkan kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close