AfrikaBerita UtamaDuniaUtama

Tentera Sudan tangkap dua pemimpin politik pembangkang

Esmat dan Jalab ditahan selepas bertemu Perdana Menteri Ethiopia

KHARTOUM, 4 Ramadan 1440H, Sabtu – Pasukan keselamatan Sudan menangkap dua pemimpin pembangkang negara itu selepas mereka bertemu Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed, ketika rundingan damai di sini, semalam, dan hari ini.

Abiy, yang menjadi perantara dalam krisis Sudan, bertemu wakil kedua-dua pihak – pemimpin tentera dan pemimpin demonstrasi awam – selepas pihak keselamatan melancarkan tindakan ganas terhadap penunjuk perasaan menyebabkan lebih 100 terbunuh, minggu ini.

Di antara pemimpin demonstrasi yang beliau temui ialah ahli politik pembangkang, Mohamed Esmat dan Ketua Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan-Utara (SPLM-N), Ismail Jalab.

Mohamed Esmat ditangkap semalam sebaik sahaja selesai bermesyuarat dengan Abiy, sementara Ismail pula ditahan di kediamannya awal hari ini, kata pembantu mereka kepada AFP.

“Sekumpulan lelaki bersenjata tiba dengan beberapa kenderaan kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan – 1:00 GMT) dan membawa Ismail pergi tanpa memberi apa-apa alasan. Kami tidak tahu di mana mereka berada,” kata mereka.

Mohamed Esmat dan Ismail, kedua-duanya mengetuai Parti Kebebasan dan Perubahan, yang menggandingkan parti dan kumpulan lain turut menganjurkan demonstrasi besar-besaran rakyat sejak Disember lalu.

Penangkapan Ismail dibuat beberapa hari selepas Timbalan Ketua SPLM-N, Yasir Arman, ditangkap di rumahnya di sini.

SPLM-N mengetuai pemberontak di kalangan eknik minoriti bukan Arab di Blue Nile dan Kordofan selatan sejak 2011, di mana tentera Sudan berjanji untuk menyelesaikan konflik secara aman, selepas mereka menggulingkan Presiden Omar al-Bashir April lalu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close