Berita Utama

Parlimen tergantung, siapa dapat bentuk kerajaan?

BN bakal jadi watak utama, bantu PN atau terima PH

BANGI, 25 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Malaysia mencatatkan sejarah baharu buat pertama kalinya apabila Parlimen tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada gabungan parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sendiri.

Parlimen tergantung adalah situasi di mana tiada parti politik atau pakatan tertentu mempunyai jumlah kerusi majoriti yang diperlukan, iaitu 112 kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi termasuk satu daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Manakala, gabungan Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh 73 kerusi Parlimen, dengan 22 kerusi adalah daripada tiket PAS di Kelantan dan Terengganu.

Selain itu, Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas dua.

Selain tumpuan terarah kepada Istana Negara, BN juga dilihat bakal menjadi ‘watak utama’ dalam drama politik hari ini.

Ini berikutan, sokongan BN akan membantu dua gabungan yang mendahului jumlah kerusi iaitu PH dan PN dalam membentuk sebuah kerajaan selepas PRU15.

Setakat pagi ini, tiada sebarang keputusan diumumkan BN memandangkan parti berkenaan akan mengadakan mesyuarat khasnya jam 12 tengah hari ini.

Sementara dua parti di Sabah dan Sarawak telah bersepakat semalam untuk menyokong Kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media awal pagi tadi mendakwa, gabungan itu kini mempunyai majoriti mudah membentuk Kerajaan Persekutuan selepas mencapai persetujuan dan persefahaman dengan beberapa pihak bagi tujuan berkenaan.

PN dalam sidang media lebih awal turut memaklumkan kesediaannya menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang sehaluan serta boleh menerima prinsip perjuangan gabungan itu dalam pembentukan kerajaan.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa gabungannya menolak kerjasama dengan PH dalam membentuk kerajaan campuran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button