Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

Latheefa Beebi Koya

Persepsi Pedang dari sudut politik tanah air

BERAPA banyak manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan (PH) yang tidak ditunaikan dan ditunaikan? Pedang rasa (rakyat juga rasa) bahawa janji yang tidak ditunaikan, lebih banyak daripada yang ditunaikan.

Justeru, apa yang hendak ‘diterkejutkan’ atau dihairankan apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik kepemimpinan parti politik memegang jawatan tertentu dalam agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam GLC, manifesto PH menyatakan:

“Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.”

Tetapi, PH tetap melantik juga orang politik mengetuai agensi kerajaan atau GLC, dan ia bukan kali pertama PH berbuat demikian. Setiap kali pelantikan dibuat, setiap kali juga rakyat mempertikaikannya, namun kedudukan orang politik dalam agensi kerajaan itu kekal, sebagaimana berlaku kepada Wan Saiful Wan Jan yang menjadi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mulanya, ramai yang ‘bising’ menuduh kerajaan PH tidak menguruskan negara mengikut manifesto pilihan raya mereka – dalam erti kata lain ‘tidak menunaikan janji’.

Apa lagi janji manifesto yang tidak ditunaikan PH? Banyak! Tapi rakyat tetap meneruskan hidup, dalam keadaan tidak sabar menanti PRU15.

Sama juga manifesto PH berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM):

“Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan taraf SPRM kepada sebuah suruhanjaya yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu sama seperti kedudukan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Penaikan taraf ini akan membolehkan SPRM mempunyai autonomi dan kuasa tersendiri, termasuk melantik para pegawai mereka sendiri, dan disediakan peruntukan yang khas, yang dilindungi oleh Perlembagaan. SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri.”

Sepatutnya kita fahami bahawa manifesto pilihan raya bukan undang-undang yang perlu dipatuhi. Sedang, PH sendiri tidak mematuhi manifestonya melaksanakan janji pilihan rayanya, maka tidak terkejut apabila Perdana Menteri juga tidak perlu mematuhi manifesto itu.

Dalam hal ini, ada yang akan mempersoalkan ‘janji’ dari sudut Islam. Janji yang tidak ditepati adalah perbuatan salah dalam Islam, dan boleh menjurus kepada jatuhnya seseorang muslim ke dalam kategori munafik. Biarlah orang itu hendak jatuh ke dalam sifat munafik atau tidak. Dia yang akan menjawab di hadapan Yang Maha Kuasa di akhirat nanti. Kita hanya boleh menilai dan berhati-hati terhadap orang sebegini.

Lalu, dengan kuasa khas yang dimiliki Perdana Menteri, Latheefa Beebi Koya pun dilantik menduduki kerusi Ketua Pesuruhjaya SPRM. Dr Mahathir tidak perlu memaklumkan kepada Kabinet atau mendapat kebenaran Parlimen untuk membuat pelantikan itu. Apa nak dihairankan?

“Untuk memastikan semak imbang yang efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM. Salah seorang dari mereka akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya akan mempuyai jaminan pelantikan tetap (security of tenure). Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.” – Manifesto PRU14 PH mengenai SPRM.

Kepemimpinan PH sendiri terkejut dengan pelantikan Latheefa Koya yang juga pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) – orang politik mengetuai agensi kerajaan.

Anwar Ibrahim yang menjadi Presiden PKR sendiri kononnya terkejut. Sama ada dia betul-betul tidak mengetahui atau sebaliknya, wallahualam. Tapi, nampaknya Anwar tidak berapa suka dengan pelantikan itu, dan dia menggunakan ‘manifesto PH’ sebagai alasan.

Macam Pedang kata awal-awal tadi – banyak lagi manifesto PH yang tidak ditunaikan – apa hendak dihairankan dengan pelantikan Latheefa Koya. Frasa “Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen”, bukanlah undang-undang negara. Ia hanya beberapa patah kata janji atau manifesto (sebahagian daripada manifesto yang tidak ditunaikan). Maka alasan Anwar tidak boleh diterima.

Sama ada suka atau tidak, pelantikan Latheefa Koya sudah diperkenan Yang di-Pertuan Agong menurut Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009. Baginda juga memperkenankan permohonan Mohd Shukri Abdull untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM lebih awal, menurut Subseksyen 5(3) Akta SPRM.

Yang di-Pertuan Agong adalah Sultan dan Raja-Raja Melayu yang kita sentiasa perjuangkan dan pertahankan. Kenapa dalam isu Latheefa Koya ini kita pula buat U-Turn ‘menentang’ perkenan baginda?

Apapun, banyak persepsi dibuat berhubung pelantikan itu. Masing-masing tertanya-tanya – kenapa PM lantik Latheefa Koya? Siapa Latheefa Koya? Bolehkah Latheefa Koya ketuai satu daripada agensi penting negara? Kenapa lantik orang politik isi jawatan itu sedangkan PH telah berjanji sebaliknya? Kenapa lantik individu yang kurang pengalaman dalam hidup (berdasarkan usia Latheefa Koya yang baru 46 tahun).

Dan, pelbagai tuduhan juga dibuat terhadap Dr Mahathir, malah ada yang mengatakan beliau lantik sebab Latheefa Koya juga lahir di Kerala, India, – satu tempat dengan keturunan PM.

Persoalan itu diberi jawapan hanya sekadar persepsi, kerana masing-masing tidak tahu sebab sebenar – bukan sekadar ketegasan Latheefa Koya menjalankan tugas sebagaimana dimaklumkan PM – tetapi mungkin ada sebab-sebab lain yang tersembunyi.

Pedang pun nak bagi satu persepsi berhubung pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Pedang lihat dari sudut politik.

Sepengetahuan Pedang, Latheefa Koya ketika menjadi pemimpin PKR, beliau bukan daripada kem Anwar, tetapi beliau dalam kem Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Dan kebanyakan pemimpin parti politik yang tidak banyak soal PM mengenai pelantikan Latheefa Koya menyedari ‘arus sungai – mana satu hulu, mana satu hilir. Tiada masalah untuk kita melihat kewujudan kem-kem dalam parti gabungan PH – DAP, PKR, PAN dan Bersatu.

Selebihnya, buatlah persepsi sendiri dari sudut politik. Buka juga helaian-helaian kisah sejarah gabungan PH, kisah Nurul Izzah bertemu Tun M di London, kisah Muhyiddin bertemu Anwar, dan banyak lagi. Pedang hanya katakan – kestabilan politik menjamin kemakmuran negara

Itu hanya persepsi Pedang. Wallahualam.

Belum lewat untuk Pedang ucap selamat menyambut Aidilfitri kepada semua pembaca Ismaweb.net, terutama peminat-peminat Pedang. Pedang masih ada di kampung di utara tanah air, dan agak lama juga tidak menjenguk ruang ini. Bukan tidak ada bahan untuk ditulis. Sumber penulisan sentiasa ada di sekeliling kita.

Cuma kesibukan tugas membuatkan Pedang kadang kala ‘agak penat’ untuk mengisi maklumat dan persepsi di ruang ini.

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Kata Pedang: Bersatu dalam genggaman, Mat Sabu pun dalam genggaman, DAP ada dua team, demikian juga PKR. Politiking dalam PH ibarat merry go round yang semakin ligat berpusing. Ini pun persepsi Pedang.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

P.S Ada rombakan Kabinet? Lim Guan Eng akan jadi menteri apa? Kenapa Shukri Abdull berundur? Adakah dia menjadi liabiliti kepada SPRM dalam kes Najib Razak?

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close