Berita UtamaDuniaUtama

Budak lelaki kahwin bawah umur berleluasa seluruh dunia: PBB

23 juta kanak-kanak lelaki bawah usia 15 tahun dilaporkan berkahwin

WASHINGTON, 4 Syawal 1440H, Sabtu – Secara kasar, sejumlah 115 juta kanak-kanak lelaki di seluruh dunia telah berkahwin ketika mereka masih di bawah umur, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kajian baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Kajian itu menyebut seorang daripada lima kanak-kanak lelaki, atau 23 juta orang, telah berkahwin sebelum berusia 15 tahun.

Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) telah mendedahkan penemuan kajian mendalam yang dilakukan berhubung perkahwinan kanak-kanak lelaki menggunakan data dari 82 negara yang meliputi kawasan sub-Sahara Afrika, Caribbean, Asia Selatan dan Asia Timur.

“Perkahwinan awal membawa kepada menjadi bapa pada usia yang masih muda, dan mendatangkan tekanan untuk menyara keluarga, kehilangan peluang untuk melanjutkan pelajaran dan mencantas peluang pekerjaan,” menurut Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, dalam satu kenyataan akhbar.

Kajian itu mendapati Republik Afrika Tengah memiliki kadar perkahwinan kanak-kanak lelaki paling tinggi diikuti Nicaragua dan Madagascar.

Angka terkini daripada kajian itu menjadikan jumlah mereka yang berkahwin semasa masih kanak-kanak (lelaki mahupun perempuan) kepada 765 juta orang.

“Kanak-kanak yang paling berisiko dalam perkahwinan bawah umur ini adalah mereka yang berasal daripada keluarga paling miskin, tinggal di kawasan luar bandar dan memiliki tahap pendidikan yang rendah atau langsung tidak berpelajaran,” menurut kajian itu.

PBB menganggap perkahwinan sebelum usia 18 tahun adalah satu pelanggaran asas terhadap hak asasi manusia. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close