Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Rakyat Palestin marah PA

Kerajaan Mahmoud Abbas naikkan gaji menteri secara rahsia

RAMALLAH, 3 Ramadan 1440H, Jumaat – Kemarahan meningkat di kalangan rakyat Palestin, susulan pendedahan laporan bahawa gaji menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA) dinaikkan secara rahsia, tatkala wilayah terkepung dan diduduki rejim pengganas Israel itu, berdepan masalah kewangan.

Dokumen yang bocor di laman sosial menunjukkan pada 2017 lalu, Presiden PA, Mahmoud Abbas secara rahsia menaikkan gaji bulanan menteri sehingga 67 peratus iaitu daripada AS$3,000 kepada AS$5,000, selain meningkatkan gaji perdana menteri daripada AS$4,000 kepada AS$6,000.

Menurut laporan Associated Press, jumlah kenaikan itu dirahsiakan daripada pengetahuan umum dan diluluskan Abbas – mengetepikan undang-undang 2004 berhubung penetapan gaji menteri -, kata dua pegawai kanan.

Pendedahan itu dibuat satu kumpulan penentang, tatkala kerajaan PA berdepan masalah kekurangan wang.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi konflik Palestin-Israel yang juga penyelaras proses damai Timur Tengah, Nickolay Mladenov berkata, beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh, yang kemudian setuju membatalkan kenaikan itu.

“Ketika rakyat Palestin bergelut dengan masalah ekonomi, ketika gaji dipotong di Semenanjung Gaza, sesetengah keputusan mengatasi logik, dan mencetuskan kemarahan rakyat.

“Saya sudah bercakap dengan Shtayyeh dan beliau bersetuju membatalkan kenaikan itu serta menjalankan siasatan,” kata Mladenov dalam Twitternya.

Terdahulu, Shtayyeh berkata, PA terpaksa meminjam wang daripada bank sejak beberapa bulan lalu, sementara Abbas pula meminta bantuan kewangan ketika persidangan Islam di Makkah, baru-baru ini.

Susulan pendedahan kenaikan gaji menteri secara rahsia di dalam Facebook, rakyat Palestin melahirkan kemarahan terhadap PA.

“Semua menteri ini… apa yang mereka berikan kepada rakyat”,” soal Subhi al-Hamdani.

PA sebelum ini memotong separuh daripada gaji kakitangannya susulan masalah kewangan yang dihadapi sejak beberapa bulan lalu.

Rejim pengganas Israel pula memotong AS$10 juta sebulan hasil cukai dikutip bagi pihak PA. Wang itu didakwa digunakan untuk tahanan Palestin di penjara Israel. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close