Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Hamas kutuk AS ekstradisi saintis Palestin ke Israel

Dr Abdul Halim jalani hukuman penjara 11 tahun di Amerika

GAZA, 3 Ramadan 1440H, Jumaat – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), mengutuk dan membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) mengekstradisi saintis Palestin, Dr Abdul Halim al-Ashqar ke Israel.

Hamas dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah mengekstradisi profesor Palestin itu menunjukkan sikap prejudis, berat sebelah dan kemesraan Washington terhadap rejim Israel.

Dr Abdul Halim adalah bekas calon presiden dan seorang ulama Palestin yang dipenjarakan di AS selama 11 tahun dan dua tahun dikenakan tahanan rumah.

Tatkala Hamas sedang berbincang dengan beberapa negara untuk menerima Dr Abdul Halim, AS mengekstradisi individu terkenal Palestin itu kepada rejim Israel, yang dianggap tikdakan haram dan di luar keadilan, kata Hamas.

Dr Abdul Halim adalah ikon nasional yang dikenali dengan semangat nasionalisme dan kesetiaan kepada rakyat, malah semua warga Palestin bangga terhadapnya.

“Hamas mengutuk dan kesal dengan langkah dilakukan AS. Kami menggesa AS bertanggungjawab terhadap hidup dan kebebasannya, kerana rejim Israel memiliki sejarah memalukan terhadap rakyat Palestin, terutama tahanan yang ditahan di penjara rejim.

“Kami juga menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan mendesak Dr Abdul Halim dibebaskan segera.

“Masyarakat antarabangsa mesti menyelamatkan nyawa dan memastikan kebebasan beliau, kerana pengasingan beliau sama ada di AS atau Israel adalah pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” kata Hamas.

Sementara itu, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dalam ucapan Aidilfitrinya kelmarin mengajak umat Islam dan rakyat Palestin berusaha dan menyokong pembentukan sebuah negara Palestin dengan Baitulmaqdis menjadi ibu negaranya.

“Saya berharap rakyat Palestin dapat menyambut Aidilfitri dalam negara sendiri tahun depan,” katanya.

Beliau juga menggesa rakyat dan institusi Palestin bekerjasama melindungi dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa, dan menentang ‘perjanjian abad ini’ tajaan AS. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close