Berita UtamaIstimewaUtama

Anwar kata Tun M perlu perjelas lebih lanjut isu lantik Latheefa

Manifesto PH tidak dipatuhi, dilihat lantikan politik: Presiden PKR

PERMATANG PAUH, 3 Ramadan 1440H, Jumaat – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Anwar berkata, keputusan untuk melantik Latheefa itu dibuat oleh Tun Mahathir dan beliau juga tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu sehingga pengumuman dibuat.

Katanya, terdapat beberapa isu, seperti Kabinet tidak dimaklumkan, pelantikan tidak selaras dengan Akta SPRM dan soal pelantikan tidak selari dengan janji dalam Manifesto Pakatan Harapan, yang perlu dijelaskan.

“Sudah tentu satu penjelasan diperlukan, kerana perkara ini adalah apa yang kita janjikan, tapi kita perlu melalui forum yang teratur (untuk penjelasan), seperti (mesyuarat) Kabinet atau Majlis Kepimpinan Pakatan, jika kita mahu dapatkan penjelasan yang sebenar.

“Manifesto tidak dipatuhi, dan nampak seperti lantikan politik… saya rasa perlu penjelasan diberikan kepada orang ramai berhubung isu itu, mengapa manifesto tidak diberi perhatian, tidak dihormati, walaupun saya rasa Latheefa mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk kedudukan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Perdana di Masjid Kubang Semang, di sini, semalam.

Bernama melaporkan, Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson bersetuju untuk memberikan masa dan ruang buat Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan mengenai pelantikan itu mengikut platform yang sepatutnya.

“Bagaimanapun tanggungjawab kita adalah untuk memastikan keberkesanan pentadbiran kerajaan, kerana kita telah diberikan komitmen bagi menyokong pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Tun Mahathir,” katanya.

“Kita akan memastikan SPRM kekal bebas, dan mereka yang diberikan tanggungjawab itu dilihat sangat profesional dan tidak akan diseret dalam kancah politik dan berpuak, ini adalah kebimbangan yang disuarakan,” katanya.

Katanya, PM telah lantik, tetapi beberapa soal harus diperjelaskan seperti soal manifesto dan proses pelantikan itu boleh dibincang secara baik dalam ruang yang ada dalam PH, malah dalam kabinet sendiri.

Sementara itu, Anwar berkata, perletakkan jawatan Latheefa sebagai Anggota PKR telah diterima oleh parti dan perkara itu tidak menimbul sebarang isu.

Latheefa dilantik sebagai KP SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan kontrak perkhidmatan beliau.

Pada hari raya lalu, Dr Mahathir yang mengesahkan pelantikan Latheefa Koya tidak dimaklumkan kepada Kabinet.

Katanya, sudah menjadi amalan biasa beliau sejak dahulu lagi untuk membuat keputusan tanpa perlu mendapatkan persetujuan jemaah Menteri.

“Dia sangat tegas. Dia bercakap benar. Dia tidak putar belit apa yang dia cakap. Jadi kita perlukan seseorang yang mempunyai karakter yang tegas.

“Saya tidak bincang dengan Kabinet. Biasanya saya buat keputusan saya sendiri sebab saya tak perlu tanya Kabinet berkenaan keputusan yang saya sendiri luluskan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close