Dunia

Wilayah Okinawa, Gunma pula tangguh guna vaksin Moderna didakwa tercemar

Temui bahan asing dalam beberapa botol selepas Jepun henti guna 1.6 juta dos

TOKYO, 21 Muharram 1443H, Isnin – Dua wilayah di Jepun menangguhkan penggunaan vaksin Moderna setelah mengesan terdapat pencemaran lain dalam beberapa botolnya, kata pemerintah tempatan.

Langkah itu diambil sehari selepas Kementerian Kesihatan Jepun memaklumkan sedang menyiasat kematian dua individu yang didakwa menerima suntikan daripada kumpulan Moderna tercemar – meskipun punca kematian masih belum diketahui.

Wilayah Okinawa, di selatan Jepun telah menggantung penggunaan vaksin Moderna di sebuah pusat vaksinasi utama di bandar Naha, dan langkah sama turut diambil di wilayah Gunma, utara Tokyo pada Ahad. 

“Kita menangguhkan penggunaan vaksin Moderna berikutan penemuan bahan asing di beberapa botolnya,” kata pihak berkuasa Okinawa dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, jurucakap pegawai di Gunma berkata, pihaknya masih meneruskan penggunaan vaksin Moderna yang tidak terjejas dan tercemar.

Sebelum ini, Jepun memutuskan untuk menangguhkan penggunaan 1.63 juta dos Moderna yang didakwa tercemar, termasuk susulan kematian dua lelaki berusia 30-an selepas menerima suntikan kedua vaksin itu pada Ogos.

Kementerian Kesihatan Jepun memaklumkan pihaknya menyiasat punca kematian untuk mengenal pasti sama ada ia disebabkan kaitan lain atau vaksin.

“Buat masa ini, kita tidak mempunyai bukti bahawa kematian ini disebabkan oleh vaksin Moderna, dan penting untuk siasatan rasmi dijalankan bagi menentukan puncanya,” kata Moderna dan pengeluar Jepun, Takeda dalam satu kenyataan bersama. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button