Berita UtamaUtama

Mayat bayi lelaki tiada tali pusat ditemukan dalam beg plastik

Remaja ternampak tangan bayi terkeluar dari bungkusan di hentian bas

KUALA LUMPUR, 2 Syawal 1440H, Khamis – Mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam sebuah beg plastik di perhentian bas Flat Sri Intan, Jalan Bukit Permai, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusof berkata, mayat bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui seorang remaja perempuan, kira-kira jam 6.40 petang sebelum memaklumkannya kepada polis.

“Hasil temu bual, remaja berusia 14 tahun itu memaklumkan menemui sebuah bungkusan plastik dalam keadaan mencurigakan ketika tiba di perhentian bas, sebelum terlihat satu objek disyaki tangan bayi terkeluar daripada beg plastik itu.

“Pegawai perubatan Hospital Ampang yang tiba di tempat kejadian mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azmi berkata, pemeriksaan forensik oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati bayi terbabit tidak ada tali pusat dan dimasukkan ke dalam plastik putih serta hitam sebelum ditinggalkan di tempat kejadian.

Mayat bayi itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close