Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Aidilfitri di Yaman: Satu pihak isytihar Selasa, satu lagi Rabu

Pertelingkahan penyokong Hadi, Houthi letak rakyat dalam kebingungan

TAIZ (YAMAN), 2 Syawal 1440H, Khamis – Ia adalah sesuatu yang luar biasa bagi Aidilfitri disambut pada hari berbeza di negara berasingan.

Tetapi, di Yaman, pertelingkahan antara dua kerajaan berhubung tarikh Aidilfitri, merakam sejarah tersendiri negara itu apabila hari raya puasa tahun ini, walaupun dalam satu keluarga dan tinggal sebumbung, disambut pada hari berbeza.

Perbalahan bermula Isnin lalu apabila pihak berkuasa kerajaan pro-Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi mengesahkan anak bulan Syawal kelihatan dan Aidilfitri akan disambut pasa Selasa.

Tetapi, kerajaan pro-Syiah Houthi secara rasmi mengisytiharkan anak bulan tidak kelihatan, dan Aidilfitri tahun ini disambut pada Rabu.

Sedang kedua-dua kerajaan mengarahkan penyokong masing-masing mematuhi arahan menyambut Aidilfitri, rakyat Yaman berkata, perbezaan pendapat itu mencetuskan kebingungan dan perselisihan yang tidak perlu sejak perang tercetus di negara itu empat tahun lalu.

Seorang warga bandar ini, Munther Hael, 45, adalah satu-satu anggota keluarga yang terus berpuasa pada Selasa, sementara yang lain bersuka ria menjamu selera dan melayan tetamu.

“Kanak-kanak dan tetamu tidak mempedulikan saya. Tetapi ial lebih bagus daripada makan pada bulan Ramadan. Memang saya hendak menyambut hari raya bersama keluarga, tetapi keputusan ini adalah atas prinsip.

“Kerajaan pro-Abed Rabbo berpangkalan di Arab Saudi, dan dengan jelas mereka mengisytiharkan hari raya mengikut Arab Saudi, sementara kerajaan pro-Houthi berpangkalan di Sanaa, dan mereka tidak nampak anak bulan di Hodeidah.

“Saya bukan Houthi, tetapi saya rakyat Yaman dan saya perlu mengikut keputusan yang dibuat oleh Sanaa, serta daripada jawatankuasa yang melihat anak bulan di Hodeidah,” katanya.

Rakyat Yaman yang lain bagaimanapun, membuat keputusan mengikut arahan kerajaan pro-Abed Rabbo. Tetapi, sesetengah daripada mereka yang tinggal di kawasan di bawah kawalan Houthi, ditangkap dan dituduh penyokong Arab Saudi kerana menyambut Aidilfitri pada Selasa.

Amin, lelaki berusia 37 tahun berkata, dia dan rakannya tinggal di kawasan Hizyaz di Sanaa dan menyambut Aidilfitri pada Selasa.

“Lagipun, puak Houthi memerintah negara itu menerusi rampasan kuasa.Oleh itu, kami mengikut keputusan oleh kerajaan Yaman yang sah,” katanya.

Tetapi, apabila mereka menunaikan solat sunat Aidilfitri, puak Houthi mengarahkan mereka berhenti.

Sesetengah rakyat Yaman percaya, puah Syiah Houthi memang merancang Aidilfitri pada Rabu setelah mengetahui Arab Saudi menyambutnya pada Selasa. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close