AfrikaBerita UtamaDuniaIstimewaUtama

100 maut: Rakyat Sudan sambut Aidilfitri dengan solat jenazah

Pasukan separa tentera serbu hospital, tangkap kakitangan perubatan

KHARTOUM, 2 Syawal 1440H, Khamis – Rakyat Sudan menyambut Aidilfitri dalam suasana tegang, susulan serbuan pasukan keselamatan negara itu ke atas kem penunjuk perasaan tiga hari lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 100 terbunuh.

Dua solat sunat diadakan iaitu solat sunat Aidilfitri dan kemudian solat jenazah diadakan buat mangsa yang maut akibat ditembak askar yang menggempur kem penunjuk perasaan di sini, Isnin lalu.

Jumlah kematian sejak pasukan keselamatan Sudan menggempur kem utama penunjuk perasaan tiga hari lalu, meningkat kepada sekurang-kurangnya 100 orang, kata Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan (CCSD).

Pada masa sama negara Kesatuan Eropah (EU) mengutuk tindakan pasukan keselamatan Sudan terhadap kumpulan prodemokrasi, namun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), gagal mencapai kata sepakat berhubung kedudukan Sudan dalam majlis itu.

Jumlah kematian itu meningkat tatkala junta tentera yang memerintah negara itu untuk sementara, hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan baharu dengan gabungan pembangkang negara itu.

Pasukan keselamatan yang menggempur khemah penunjuk perasaan – Unit Tindakan Ringan (RSF) di bawah Majlis Peralihan Tentera (TMC) – dilaporkan melepaskan tembakan peluru hidup ke arah orang ramai, dan memukul mereka menggunakan rotan.

Khemah induk demonstrasi di luar kompleks ibu pejabat tentera di sini, yang menjadi pusat utama penunjuk perasaan sejak beberapa minggu lalu, sudah ditawan dan dimusnahkan.

Tetapi, penunjuk perasaan dilaporkan mula mengadakan demonstrasi membantah tindakan RSF dan TMC di beberapa daerah di ibu negara Sudan itu, dengan menyekat jalan dan membakar tayar kenderaan.

CCSD berkata, jumlah kematian sejak operasi pasukan keselamatan bermula Isnin lalu, meningkat kepada sekurang-kurangnya 100 orang, manakala ratusan lagi cedera.

“Kira-kira 40 mayat dikeluarkan dari Sungai Nile semalam, sehari selepas tentera menggempur kem induk penunjuk perasaan. Ini menjadikan jumlah kematian di kalangan penunjuk perasaan mencecah 100 orang,” kata CCSD.

Menerusi kenyataan dalam Facebook mereka, CCSD mendakwa anggota RSF mengeluarkan mayat dari sungai itu dan dibawa ke suatu tempat yang tidak diketahui.

TMC bertanggungjawab ke atas tindakan kejam dan ganas ini, kata CCSD dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua TMC, Leftenan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dalam kenyataan sempena sambutan Aidilfitri di Sudan hari ini, berkata tentera kekal dengan pendirian untuk menyerahkan kuasa ke tangan rakyat.

“Majlis tentera menghulurkan tangan bagi mengadakan rundingan demi kepentingan tanah air,” katanya yang menghargai demonstrasi rakyat bermula Disember tahun lalu, bagi membolehkan tentera menggulingkan Presiden Omar al-Bashir.

Sebelum itu, beliau mengumumkan pemansuhan perjanjian dengan kumpulan prodemokrasi dan berjanji akan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh sembilan bulan.

Penunjuk perasaan menyekat laluan dengan membakar tayar kenderaan di Khartoum, ibu negara Sudan. – Gambar AFP

Sementara itu, aktivis prodemokrasi Mohammed Janib dan Hashim al-Sudani memberitahu terdapat pertempuran kecil di antara penunjuk perasaan dan RSF di beberapa kawasan di daerah Bahri dan Buri di ibu kota Sudan.

“Di Buri sahaja terdapat banyak tembakan dan gas pemedih mata. Pasukan keselamatan cuba mengasak penunjuk perasaan ke jalan sempit untuk memukul mereka,” kata al-Sudani.

Di daerah Bahri pula, penduduk menyekat jalan menggunakan batu dan menunggu anggota pasukan keselamatan tiba.

Pada masa sama, ratusan mangsa berterusan mengunjungi Hospital Royal Care dua hari selepas tunjuk perasaan aman rakyat di luar kompleks ibu pejabat tentera Sudan, digempur pasukan keselamatan negara itu.

Sesetengah mangsa duduk di lantai sambil kesakitan akibat ditembak, menunggu doktor yang bekerja 24 jam, merawat pesakit.

Di luar hospital di tengah ibu negara Sudan itu, puluhan trak membawa askar beratur di jalan. Mereka adalah daripada unit separa tentera RSF – unit sama yang menggempur dan membunuh lebih 35 penunjuk perasaan, Isnin lalu.

Seorang anggota pasukan perubatan yang hanya dikenali sebagai Nazar berkata, askar mengepung hospital itu semalam dan mula mengarahkan kakitangan memindahkan mangsa yang cedera dalam tempoh sejam.

Seorang pegawai kanan memasuki hospital dan mengarahkan semua pesakit dipindahkan, katanya.

Sumber berkata, seorang doktor, Waleed Abdullah, yang juga pasukan perubatan yang membantu penunjuk perasaan di luar kompleks tentera, ditangkap selepas askar menembak kakinya.

Sehingga kini, media yang memetik kenyataan persatuan doktor tempatan melaporkan lebih 200 orang cedera, sementara puluhan lagi dikatakan hilang. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close