AfrikaBerita UtamaDuniaIstimewaUtama

Ramadan berdarah di Khartoum

Lebih 30 orang maut ditembak, tentera gempur kem penunjuk perasaan

KHARTOUM, 30 Ramadan 1440H, Selasa – Penunjuk perasaan Sudan berkata, lebih 30 orang awam terbunuh selepas pasukan keselamatan menyerbu kem utama demonstrasi di sini, dalam keganasan paling buruk sejak Presiden Omar al-Basir digulingkan, mencetuskan kecaman antarabangsa.

Pertubuhan Profesional Sudan (SPA) yang mengetuai tunjuk perasaan seluruh negara bermula Disember tahun lalu berkata, tindakan pasukan keselamatan bermula semalam, menjadi pembunuhan beramai-ramai.

‘Kami meminta Majlis Peralihan Tentera (TMC) bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku pagi ini,” kata SPA merujuk kepada majlis pemerintah tentera yang mentadbir negara sekarang ini.

Pemimpin prodemokrasi menggesa rakyat negara itu mengambil bahagian dalam perarakan sebelah malam, dan menyekat laluan utama sebagai sebahagian daripada ketidakpatuhan awam bagi ‘melumpuhkan kehidupan’ di seluruh negara Afrika utara itu.

Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan (CCSD) berkata semalam, jumlah kematian, termasuk sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak, semakin meningkat dan sukar untuk dikira, terutama di kem induk tunjuk perasaan, di luar kompleks ibu pejabat tentera di sini.

CCSD berkata, ratusan penunjukperasaan cedera, kebanyakannya akibat tembakan, dan menurut saksi, mayat penunjuk perasaan yang ditembak mati dibuang ke dalam Sungai Nile berhampiran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan ganas pasukan keselamatan ke atas penunjuk perasaan, dan menggesa siasatan bebas terhadap kematian itu diadakan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam satu kenyataan berkata, beliau dikejutkan dengan laporan mengatakan pasukan keselamatan melepaskan tembakan di dalam hospital di ibu negara Sudan.

“Apa yang jelas kepada kita ialah penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan terhadap orang awam. Orang ramai terbunuh dan cedera,” kata jurucakap PBB, Stephane Sujarric.

Saksi berkata, kem induk penunjuk perasaan di luar kompleks tentera telah ‘ditawan’ pasukan keselamatan.

Klip video yang dikongsi di media sosial menunjukkan keadaan huru-hara di kem itu ketika penunjuk perasaan melarikan diri, sambil kedengaran tembakan dilepaskan.

Penunjuk perasaan kembali ke jalan raya di seluruh bandar ini, dan menghalang lalu lintas dengan batu dan membakar tayar.

CCSD juga mendakwa pasukan keselamatan melepaskan tembakan di dalam Hospital East Nile, dan mengejar penunjuk perasaan.

“Sebuah hospital berhampiran kem induk penunjuk perasaan juga dikepung, dan anggota sukarelawan dihalang memasukinya,” kata CCSD.

Duta Britain ke Sudan, Irfan Siddiq dalam Twitternya berkata, serangan ke atas hospital dan klinik adalah sukar dipercayai.

“Mereka yang cedera dalam serangan ganas hari ini tidak boleh dihalang daripada mendapatkan rawatan. Pusat perubatan mesti menjadi tempat selamat,” katanya.


Majlis tentera yang memerintah menafikan laporan bahawa mereka menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat tentera, namun klip video yang tular menunjukkan askar menembak dan memukul penunjuk perasaan sewenang-wenangnya.

Jurucakap TMC, Leftenan Jeneral Shams El Din Kabbashi mendakwa pasukan keselamatan sedang mengejar ‘pihak tertentu’ yang kemudian melarikan diri ke kawasan penunjuk perasaan, menyebabkan berlaku kekacauan.

“TMC kesal dengan situasi tidak terkawal itu, dan memberi jaminan keelamatan kepada semua rakyat Sudan, selain sekali lagi meminta rundingan diadakan secepat mungkin,” kata TMC dalam satu kenyataan.

Tindakan keras pasukan keselamatan mencetuskan bantahan keras daripada masyarakat antarabangsa, yang menggesa TMC bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku.

Kesatuan Negara Afrika, Qatar dan Jerman, menggesa TMC dan penunjuk perasaan untuk kembali ke meja rundingan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close