Berita UtamaDuniaIstimewaPalestinUtama

VIDEO | Zionis gempur Al-Aqsa

Tunjuk perasaan tercetus selepas polis Israel benarkan orang Yahudi memasuki pekarangan Masjidil Aqsa untuk sambut Hari Baitulmaqdis


BAITULMAQDIS, 29 Ramadan 1440H, Isnin
– Bantahan tercetus hari ini selepas polis rejim pengganas Israel memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa bersama ratusan nasionalis Yahudi untuk menyambut Hari Baitulmaqdis, sementara rejim itu pula meraikan ulang tahun menduduki Baitulmaqdis Timur.

Muslim Waqf, pihak berkuasa yang memantau pekarangan Masjidil Aqsa berkata, polis rejim Zionis menggunakan peluru getah, penyembur dan gas pemedih mata menyerang umat Islam yang berada di dalam masjid, selain menangkap beberapa individu.

Seorang lelaki Palestin cedera di kepala, manakala yang lain dirawat akibat kesan daripada gas pemedih mata di luar masjid, kata jurucakap Bulan Sabit Merah Palestin.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh 30 tahun penganut Yahudi dibenar memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa, pada penghujung Ramadan, yang secara tidak langsung bertepatan dengan hari sambutan ulang tahun rejim Israel menawan kota suci itu.

Pengarah Masjid Al-Aqsa, Omar al-Kiswani menuduh rejim pengganas Israel melanggar perjanjian tidak membenarkan lawatan pelampau Yahudi pada hari-hari terakhir Ramadan.


Terdahulu, polis rejim Israel menempatkan ratusan anggotanya di sekeliling masjid dan di seluruh bandar ini, ketika ratusan nasionalis Yahudi menunggu di luar pagar untuk memasuki pekarangan Masjidil Aqsa.

Bantahan dan tunjuk perasaan tercetus apabila ratusan pengikut Yahudi mula memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa, selepas polis rejim membenarkan mereka berbuat demikian.

“Terdahulu mereka berkumpul di depan pintu pagar terutama di Tembok Barat dan menggesa pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke pekarangan masjid.

“Apabila polis membenarkan mereka berbuat demikian, umat Islam mula membantah, menyebabkan pasukan keselamatan rejim Zionis bertindak menyuraikan penunjuk perasaan.

“Malah askar rejim Zionis memasuki Masjid Al-Aqsa dan menembak gas pemedih mata serta peluru getah ke arah rakyat Palestin di dalam masjid,” kata jurucakap Muslim Waqf.

Ratusan pendatang Yahudi memasuki pekarangan Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, sambil dikawal polis rejim pengganas Israel, hari ini.

Klip video yang tular juga menunjukkan askar rejim pengganas memasuki Masjidil Aqsa, sembil melepaskan tembakan ke arah warga Palestin, selain menangkap beberapa orang daripadanya.

Klip video juga menunjukkan umat Islam melaungkan ‘Allahu Akbar’ dan membaling pelbagai objek, termasuk kerusi, ke arah askar rejim pengganas Israel.

Kawalan di sekitar Masjidil Aqsa juga dipertingkatkan selepas seorang remaja lelaki Palestin ditembak mati oleh askar rejim Zionis, ketika dia cuba memasuki Baitulmaqdis Timur untuk solat Jumaat, tiga hari lalu.

Masjid Al-Aqsa terletak dalam pekarangan Tanah Suci seluas 35 ekar, yang juga dikenali sebagai Temple Mount oleh Yahudi.

Polis rejim Zionis menggempur umat Islam yang sedang beribadat di dalam Masjid Al-Aqsa, hari ini.

Pekarangan Tembok Barat, dikenali sebagai Tembok Menangis bagi Yahudi dipercayai menempatkan Kuil Kedua, sementara bagi umat Islam ia dikenali sebagai Tembok al-Buraq – tempat di mana Nabi Muhammad berpijak di atas batu sebelum dimikraj ke langit.

Kawasan itu sentiasa ditutup kepada orang Yahudi ketika 10 malam terakhir Ramadan, apabila sejumlah besar umat Islam beribadah di dalamnya. – Agensi

Ribuan umat Islam beribadat di dalam Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya setiap malam Ramadan. Pekarangan tanah suci itu ditutup kepada kaum Yahudi pada 10 malam terakhir Ramadan setiap tahun, tetapi hari ini polis rejim Zionis membenarkan ratusan pengikut Yahudi memasukinya, mencetuskan kemarahan umat Islam.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close