Berita Utama

Bersatu didakwa tidak ikhlas wujud kerjasama politik

UMNO bagai melukut di tepi gantang bila beberapa saranan tak didengari

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa tiada keikhlasan dalam mengadakan kerjasama politik.

Salah seorang Ketua UMNO Bahagian yang enggan dikenali mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan perkara itu apabila beberapa saranan dikemukakan UMNO telah ditolak kerajaan, termasuk pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dakwanya, Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa Barisan Nasional (BN) telah menyokong Belanjawan 2021 bagi menjaga kepentingan rakyat, kerajaan serta pembangunan negara.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid kesal apabila sokongan itu telah digunakan untuk memperkukuhkan Bersatu, antaranya menawarkan jawatan kepada ahli-ahli UMNO ke dalam parti berkenaan.

“Selain itu Presiden turut mempertikaikan pelantikan-pelantikan penting untuk kerajaan tidak langsung dibawa berbincang dengan UMNO melalui Majlis Presiden,” dakwa Ketua Bahagian itu seperti dilapor Suara.TV, hari ini.

Dakwa Ketua Bahagian itu lagi, Ahmad Zahid turut membangkitkan isu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang langsung tidak dibawa berunding dengan mereka.

Dakwanya, perkara-perkara itu menyebabkan Ahmad Zahid menyifatkan UMNO umpama melukut di tepi gantang, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan UMNO akan bertanding sekurang-kurangnya 89 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum akan datang manakala jumlah keseluruhan kerusi yang bakal ditandingi BN adalah sebanyak 125.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button